Pemain England, Bukayo Saka (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AP
Pemain England, Bukayo Saka (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AP
AFP

Doha: England bermula cemerlang bagi kempen Piala Dunia ketika Bukayo Saka dan Jude Bellingham mencetus inspirasi membenam Iran 6-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, sebentar tadi.

Saka dan Bellingham menjadi tonggak utama apabila bergandingan mantap sebagai pergerakan skuad England sekali gus membuktikan kemunculan mereka sebagai dua bintang muda paling cemerlang dalam aksi itu.

Bellingham, 19, memusnahkan impian Iran untuk mencipta kejutan buat England apabila menanduk masuk gol pembukaan di separuh masa pertama dan jaringan tunggal bersama skuad senior kebangsaan.

Skuad kendalian Gareth Southgate beraksi dengan baik di Stadium Antarabangsa Khalida dan jaringan daripada Saka dan Raheem Sterling meletakkan mereka mendahului selesa sebelum rehat separuh masa.

Saka, 21, sekali lagi menjaringkan gol pada babak kedua, sekalipun Mehdi Taremi meledak dua gol buat Iran, Marcus Rashford dan Jack Grealish melengkapkan kemenangan gemilang itu.

Akan ada ujian yang lebih kuat untuk England dalam usaha mereka memburu gelaran trofi utama buat kali pertama sejak Piala Dunia 1966.

Namun ia menjadi langkah yang tepat buat Southgate, di mana pasukan itu tiba di Qatar dengan mencatat enam keputusan perlawanan tanpa kemenangan yang mengundang kritikan kepada bos skuad Three Lions dan mempertikaikan taktikal permainannya.

England beraksi bagi perlawanan kedua menentang Amerika Syarikat pada awal pagi Sabtu dan melengkapkan jadual Kumpulan B mereka menentang Wales pada 30 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 12:02 AM