RICE (kiri) meraikan jaringan Saka. FOTO Reuters
RICE (kiri) meraikan jaringan Saka. FOTO Reuters
AFP

Doha: Declan Rice berkata England mahu 'membuktikan tanggapan orang ramai salah' selepas skuad bimbingan Gareth Southgate meraikan kemenangan 6-2 pada perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Iran, semalam.

Jude Bellingham menyinar di bahagian tengah, Bukayo Saka kembali mengukuhkan kepercayaan pengurus kepadanya selepas mimpi ngeri gagal sempurnakan penaltinya di Euro 2020 dan pemain gantian, Marcus Rashford serta Jack Grealish turut menyumbang gol.

England yang mara sehingga ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan naib juara Kejohanan Eropah tahun lalu, hadir ke Qatar selepas mengharungi enam perlawanan tanpa kemenangan.

Bagaimanapun mereka mempamer penampilan berbeza di Stadium Antarabangsa Khalifa apabila menguasai sepenuhnya perlawanan.

"Satu permulaan yang positif. Saya rasa mungkin terdapat banyak keraguan terhadap kami sebelum permulaan kejohanan ini dan banyak memperkatakan kami gagal meraih kemenangan dalam enam perlawanan terakhir.

"Dengan standard dan barisan pemain yang kami ada, kami tahu ia sudah cukup bagus.

"Tapi ini adalah Piala Dunia. Anda dapat melihat semangat yang kami pamerkan untuk membuktikan tanggap orang ramai adalah salah.

"Kita boleh katakan ia 'hanya Iran' tetapi mereka meraih beberapa keputusan yang baik... pada September mereka menewaskan Uruguay, seri dengan Senegal, jadi mereka pasukan yang sukar," kata Rice.

Bintang West Ham mengingatkan rakan sepasukannya agar lebih berwaspada apabila menentang Amerika Syarikat dan Wales pada perlawanan seterusnya dalam Kumpulan B.

Skuad kendalian Southgate beraksi dengan baik dan jaringan daripada Saka serta Raheem Sterling meletakkan mereka mendahului selesa sebelum rehat separuh masa.

Saka, 21, sekali lagi menjaringkan gol pada babak kedua, sekalipun Mehdi Taremi meledak dua gol buat Iran, Rashford dan Grealish melengkapkan kemenangan gemilang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 7:36 AM