CALVERT-Lewin (tengah) menjaringkan gol pertama menewaskan penjaga gol Wales, Wayne Hennessey. FOTO AFP
CALVERT-Lewin (tengah) menjaringkan gol pertama menewaskan penjaga gol Wales, Wayne Hennessey. FOTO AFP
AFP

London: Gareth Southgate berkata Dominic Calvert-Lewin meletakkan dirinya pada satu tahap berbeza selepas penyerang Everton itu menjaringkan gol pada penampilan pertama bersama England ketika menewaskan Wales 3-0 dalam aksi perlawanan persahabatan.

Calvert-Lewin menjaringkan gol pembukaan di Wembley sekaligus gol ke-10 peribadi musim ini selepas meledak sembilan gol untuk Everton sepanjang enam perlawanan.

Jaringan separuh masa pertama pemain berusia 23 tahun itu kemudian diikuti oleh jaringan babak kedua oleh pemain Wolves, Conor Coady yang turut melakukan penampilan pertama bersama England.

Penyerang Southampton, Danny Ings menambah gol ketiga untuk England.

Kagum dengan prestasi Calvert-Lewin sejak beberapa bulan lalu, Southgate berkata: "Sangat baik, dia bermula cemerlang, lariannya mengancam lawan, memberi tekanan dan menjaringkan gol.

"Dia berada pada prestasi terbaik. Saya sentiasa gemar melihat aksinya tetapi jaringannya itu meletakkan dirinya pada satu tahap berbeza."

Dengan Tammy Abraham, Ben Chilwell da Jadon Sancho tidak diturunkan kerana memenuhi prosedur Covid-19 dan skuad dipenuhi oleh barisan pemain yang kerap beraksi bersama kelab, Southgate menguji kemampuan barisan pemain lain menjelang perlawanan Liga Negara-Negara bertemu Belgium, awal pagi Isnin.

Perancang Aston Villa, Jack Grealish menjadi arkitek kepada jaringan Calvert-Lewin dan menyinar selepas bermula dalam kesebelasan utama.

"Dia berjaya mengawal bola dengan baik dan ia adalah penampilan yang pasti tidak dapat dilupakannya," kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 7:22 AM