Aksi Zaquan Adha (kiri) dalam saingan Liga Perdana.
Aksi Zaquan Adha (kiri) dalam saingan Liga Perdana.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) akan bertindak sebagai pasukan 'underdog' dalam mengharungi kempen saingan Kumpulan C Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya, Ahad ini.

Perkara itu ditegaskan kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, berikutan dia sedar cabaran dalam saingan merebut trofi berprestij itu bukan mudah kerana bakal berhadapan dengan pasukan hebat daripada Liga Super.

"Beraksi dalam kempen Piala Malaysia bukan sesuatu yang mudah kerana ia bakal menyaksikan graf saingan itu lebih tinggi berbanding Liga Perdana, malah kita memang tahu kualiti yang ada pada pasukan Liga Super tetapi kita akan cuba beri tentangan.

"Bersaing dengan pasukan seperti Kedah (Darul Aman FC) dan Melaka United FC (MUFC) di peringkat kumpulan bukan mudah dan jika berjaya melepasi halangan di peringkat seterusnya akan bertembung pula dengan beberapa pasukan lain yang lebih hebat.

"Apapun NSFC akan cuba memberikan saingan terbaik, namun kita akan sentiasa berada sebagai pasukan underdog," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu menjadi tonggak penting dalam membantu NSFC menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC), 4-2, pada aksi terakhir liga, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selasa lalu.

Zaquan Adha berkata, NSFC tidak mahu terlalu tertekan menghadapi kempen Piala Malaysia kerana sasaran yang ditetapkan pasukan pada musim ini iaitu layak ke Liga Super musim hadapan sudah tercapai.

"Bagaimanapun, selaku juara Liga Perdana, NSFC tetap mahukan keputusan positif dapat dicapai dalam setiap perlawanan di peringkat kumpulan walaupun sedar ianya memerlukan kerja keras dan komitmen yang tinggi." katanya.

Kepulangan Zaquan ke Negeri Sembilan pada musim ini dianggap tepat pada waktunya selepas 10 tahun berkelana ke beberapa pasukan lain.

Dia memilih untuk berhijrah ke beberapa pasukan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Johor Darul Ta'zim (JDT), bersama abangnya Muhamad Adil Zafuan.

Mereka kemudian berpisah pada 2017 apabila Zaquan menyertai Perak selama semusim dan kemudian ke Kuala Lumpur (2019) dan Kedah pada musim lalu.

Zaquan meledak tujuh gol sepanjang saingan Liga Perdana untuk NSFC musim ini menduduki senarai penjaring terbanyak kedua skuad berkenaan di belakang penyerang import, Alain Thierry Akono, yang menyumbat 9 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 5:15 PM