ZAQUAN nyatakan hasrat untuk bergandingan dengan abang kembarnya, Aidil musim hadapan. FOTO Ihsan FB NSFC
ZAQUAN nyatakan hasrat untuk bergandingan dengan abang kembarnya, Aidil musim hadapan. FOTO Ihsan FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Hasrat dan impian penyokong setia skuad bola sepak Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk menyaksikan gandingan kembar Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak bergandingan semula dalam pasukan itu mungkin dapat direalisasikan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Bagaimanapun, ia akan bergantung kepada keputusan pengurusan NSFC sama ada bersedia untuk mengambil Aidil Zafuan dan dalam masa sama mengekalkan Zaquan Adha dalam pasukan itu bagi menghadapi saingan musim hadapan yang dijangka bakal bermula Mei 2024.

Aidil Zafuan antara beberapa pemain dalam skuad Johor Darul Ta[zim (JDT) yang diketepikan bagi menghadapi saingan Liga M 2024 seperti mana yang diumumkan dalam Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers, semalam.

Pemain berasal dari Seremban berusia 36 tahun itu setia bersama kelab terbabit yang mula disertainya sejak 2013 dengan membuat 114 penampilan serta meledak empat jaringan sepanjang tempoh bersama kelab berkenaan.

Aidil Zafuan antara pemain paling berjaya dalam sejarah Liga M apabila berjaya merangkul 25 piala sewaktu bersama JDT dan empat piala ketika bersama Negeri Sembilan.

Zaquan Adha pula yang kembali bersama Negeri Sembilan sejak 2021 selepas menyertai beberapa pasukan sebelum itu termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JDT, Perak, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), turut membantu pasukan negeri kelahirannya itu menjulang kejuaraan Liga Perdana 2021.

Bermula pada 2005, kedua-dua pemain kembar ini adalah antara tonggak utama Negeri Sembilan dan turut membantu pasukan itu menjulang beberapa kejuaraan dalam Liga M termasuk memenangi Piala Malaysia pada 2009 dan 2011.

Rata-rata penyokong skuad Hobin Jang Hobin mengharapkan kedua-dua pemain terbabit dapat digandingkan semula dalam pasukan itu seperti mana sejarah yang pernah mereka catatkan dalam pasukan berkenaan sebelum ini.

"Kami bermain bola daripada mulanya bersama dan kalau boleh saya mahu mengakhiri karier bola sepak ini bersama-sama juga.

"Memang menjadi impian saya untuk dapat bergandingan semula dengan Aidil namun perkara itu belum dapat dipastikan kerana antara kami mempunyai pilihan tersendiri, tapi dia antara pemain yang banyak dapat piala," kata Zaquan Adha yang menyatakan hasrat untuk bergandingan semula dengan abang kembarnya itu.

Menurut Zaquan Adha, buat masa ini dia masih lagi menunggu perkembangan daripada pihak pengurusan NSFC sama ada mahu teruskan khidmatnya dalam pasukan itu atau sebaliknya bagi musim hadapan.

"Liga baharu saja selesai dan saya masih menunggu keputusan daripada pihak kelab sama ada kekal di sini, atau sebaliknya. Saya juga pelan A dan pelan B," kata kapten Negeri Sembilan itu.

Aidil Zafuan dan Zaquan Adha sama-sama memulakan karier bola sepak bersama Negeri Sembilan dan turut sempat bersama-sama bermain untuk JDT pada tahun 2013 sebelum mengikuti haluan masing-masing.

Kedua-dua pemain ini dilihat semakin di penghujung karier dan berkeinginan untuk menamatkan karier bola sepak mereka dalam pasukan yang sama.

Prestasi Negeri Sembilan sedikit menurun dalam saingan Liga Super musim 2023 apabila menamatkan saingan itu di tangga kesembilan berbanding tempat keempat pada musim 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 1:05 PM