Aksi pemain NSFC (kanan) ketika cuba menyekat kemaraan pemain KUFC dalam aksi Liga Perdana semalam. FOTO Ihsan NSFC
Aksi pemain NSFC (kanan) ketika cuba menyekat kemaraan pemain KUFC dalam aksi Liga Perdana semalam. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pintu Liga Super musim hadapan kian terbuka buat Negeri Sembilan FC (NSFC) selepas berjaya mencatat kemenangan ke atas Kelantan United FC (KUFC), 2-0, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.

Bagaimanapun situasi itu belum boleh membuatkan skuad Hobin Jang Hobin menarik nafas lega kerana masih ada empat baki perlawanan yang bakal mereka hadapi sebelum mengakhiri cabaran saingan musim ini.

Kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak akui empat perlawanan terakhir liga adalah penentu kepada nasib pasukan itu musim ini, sama ada berpeluang layak ke Liga Super musim hadapan atau sasaran ditetapkan itu tersasar.

"Empat perlawanan terakhir ini amat penting kerana ia penentu kepada pencapaian pasukan sama ada mampu layak ke Liga Super musim depan atau sebaliknya.

"Justeru itu, kami perlu terus bekerja keras bagi mengekalkan persembahan terbaik untuk memastikan kemenangan dapat dicapai dalam kesemua baki perlawanan itu.

"Fokus kami adalah untuk layak ke Liga Super selain muncul juara Liga Perdana, yang mungkin dianggap sebagai bonus.

"Bagaimanapun, tugas itu bukan mudah kerana kami perlu menghadapi beberapa pencabar terkuat dan pesaing terdekat antaranya Sarawak United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC selain perlu beraksi di tempat lawan," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pasukannya perlu terus bergerak ke hadapan dan kekalkan momentum kemenangan yang dicapai setakat ini, agar usaha dan impian yang ditetapkan tidak terjejas.

Zaquan Adha yang menjaringkan satu gol dalam perlawanan semalam, akui Negeri Sembilan sudah lama tidak bersaing dalam liga utama negara itu dan sudah sampai ketikanya untuk kembali bersaing dengan pasukan berprestij tempatan.

"Dengan peluang yang ada ketika ini, saya dan rakan-rakan dalam pasukan perlu memanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu merealisasikan sasaran ditetapkan musim ini.

"Walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi pasukan kesan daripada pandemik Covid-19 apabila liga terhenti dan disambung semula, namun ternyata kami dapat harunginya dengan baik.

"Saya berharap semua rakan-rakan dapat kekal fokus dalam melaksanakan misi wajib menang terhadap baki empat perlawanan liga ini nanti," kata Zaquan Adha, yang melahirkan rasa syukur di atas kemenangan dalam aksi semalam.

NSFC kini memimpin carta Liga Perdana selepas mengumpul 32 mata hasil sembilan kemenangan dan lima seri daripada 16 perlawanan, sementara Sarawak United di tempat kedua dengan 31 mata hasil 15 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 6:03 PM