KHIDMAT Zaquan tetap diperlukan NSFC.
KHIDMAT Zaquan tetap diperlukan NSFC.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kapten Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak yang dibenarkan keluar dari hospital semalam, hampir pasti melegakan barisan jurulatih dan pemain pasukan itu menjelang aksi Liga Super menentang Kuching City FC, Ahad ini.

Bagaimanapun, bekas penyerang kebangsaan itu yang dilaporkan mengalami kecederaan lutut ketika aksi suku akhir Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu mungkin memerlukan rehat panjang.

"Zaquan dibenarkan keluar dari hospital semalam dan daripada laporan doktor mendapati tiada keretakan atau patah dilaporkan pada kecederaan di lutut dialaminya.

"Dia dijangka menjalani ujian imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dalam masa terdekat untuk mengesan kecederaan lain pada lutut beliau.

"Perkembangan ini melegakan pasukan walaupun mungkin dia tidak dapat beraksi dalam masa terdekat," kata sumber pasukan itu, hari ini.

Pada pertembungan sengit antara Negeri Sembilan dengan Selangor, Sabtu lalu, Zaquan Adha diturunkan sebagai pemain gantian pada minit ke-78.

Bagaimanapun, penyerang berpengalaman berusia 35 tahun dilaporkan mengalami kecederaan selepas berlaku perlanggaran dengan pertahanan Selangor, Fazly Mazlan.

Penolong kapten pasukan, Nasrullah Hanif Johan mengharapkan kecederaan Zaquan Adha tidak serius kerana khidmat pemain itu masih diperlukan skuad Hobin Jang Hobin dalam mengharungi saingan liga selepas cabaran dalam Piala FA, berakhir.

Ketika ini, skuad bimbingan K Devan berada di tangga kelapan liga dengan mengumpul 17 mata selepas melalui 12 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 7:02 PM