ZAQUAN (kiri) antara bekas pemain yang kembali ke pangkuan Negeri Sembilan. FOTO NSTP
ZAQUAN (kiri) antara bekas pemain yang kembali ke pangkuan Negeri Sembilan. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) kembali mendapatkan semula bekas pemain yang sebelum ini berkelana ke beberapa negeri, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bekas penyerang Kedah, Mohamad Zaquan Adha Radzak antara pemain yang bakal kembali memperkuatkan jentera serangan Negeri Sembilan.

Pemain berusia 33 tahun itu yang sebelum ini pernah beraksi bersama Kuala Lumpur dan Johor Darul Ta'zim (JDT), menandatangani kontrak bersama skuad Hobin Jang Hobin, baru-baru ini.

Menurut sumber NSFC, kehadiran semula adik kembar kepada pertahanan JDT, Aidil Zafuan itu, dijangka bakal mengembalikan semula kegemilangan Negeri Sembilan yang pernah dicapai sebelum ini.

"Setakat ini, Zaquan adalah antara beberapa bekas pemain yang akan bersama Negeri Sembilan dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sudah mencapai kata sepakat untuk mendapatkan khidmatnya.

"Terdapat beberapa lagi bekas pemain yang turut diserapkan dalam pasukan," katanya di sini, hari ini.

Zaquan Adha pernah beraksi bersama Negeri Sembilan pada 2006 hingga 2011, dengan membantu pasukan itu menjulang beberapa trofi seperti Liga Super 2006, Piala Malaysia 2009 dan 2011 serta Piala FA 2010.

Menurutnya lagi, dua pemain pertahanan iaitu bekas pemain Terengganu FC (TFC), Nasrullah Hanif Johan dan bekas pemain Melaka United (MU) Annas Rahmat, turut memperkuatkan bahagian pertahanan pasukan itu.

"Kedua-dua pemain ini adalah produk program pembangunan bola sepak Negeri Sembilan.

"Selain itu, dua bekas pemain Petaling Jaya City (PJ City) iaitu R Aroon Kumar dan R Barathkumar selain bekas penjaga gol Felda United, Muhaimin Mohamad, antara yang berada dalam senarai terbaru pasukan," katanya.

Sementara itu, bekas penyerang skuad bawah 23 tahun negara, N Thanabalan dikatakan tiada dalam senarai pemain yang dibawa masuk ke dalam pasukan itu.

"Mungkin tidak (menyertai Negeri Sembilan)," kata Thanabalan ketika dihubungi.

Negeri Sembilan mengumumkan bekas ketua jurulatih PJ City, K Devan sebagai ketua jurulatih baharu, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 6:45 PM