SHARBINEE dilayangkan kad merah selepas menerjah dada Mohamad Zamri Ramli. FOTO FB Sarawak United FC
SHARBINEE dilayangkan kad merah selepas menerjah dada Mohamad Zamri Ramli. FOTO FB Sarawak United FC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Layangan kad merah kepada penjaga gol Sarawak United FC, Mohd Sharbinee Allawee Ramli selain sepakan penalti dihadiahkan kepada Negeri Sembilan FC, ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Perdana pada Jumaat lalu, merupakan keputusan yang tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk S Sivasundaram menjelaskan, keputusan pengadil perlawanan Muhammad Kamil Zakaria selari dengan lunas Undang-Undang Bola Sepak 21/22 digariskan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) di bawah Undang-undang 12.

"Dalam lunas Undang-Undang Bola Sepak 21/22, di bawah Undang-undang 5 juga ada menyatakan bahawa keputusan pengadil adalah muktamad," katanya dalam kenyataan hari ini.

Insiden di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu menyaksikan Mohd Sharbinee diperintahkan keluar padang pada minit ke-65, selepas melakukan kekasaran dengan menerjah dada pemain lawan Mohamad Zamri Ramli ketika melompat untuk menangkap bola di udara.

Kekasaran dilakukan Mohd Sharbinee menyaksikan Negeri Sembilan FC dihadiahkan sepakan penalti, namun penyerang import dari Ivory Coast Francis Kone yang mengambil tangunggjawab itu gagal menyempurnakan sepakan, apabila rembatannya melambung tinggi melepasi palang gol.

Bukan itu sahaja, perlawanan itu juga dicemari dengan insiden pergaduhan di dalam padang selepas wisel penamat dibunyikan, melibatkan pengadil Mohamad Kamil dengan pemain serta pegawai Sarawak United yang dipercayai tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan dalam aksi berkenaan.

Sehubungan itu, Sivasundaram berkata pihak FAM ingin mengingatkan semua pemain dan pegawai pasukan agar menyalurkan aduan atau bantahan mereka, melalui saluran yang betul.

"Tindakan agresif dan menyerang pegawai perlawanan adalah sesuatu yang ditegah serta mencemarkan imej bola sepak Malaysia secara keseluruhannya," kata beliau.

Beliau pada masa sama berkata pihaknya akan menilai setiap cadangan untuk penambahbaikan pengadil dengan sebaiknya dan tindakan sewajarnya juga akan diambil terhadap pegawai perlawanan yang didapati terkhilaf, dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, Pengerusi Sarawak United FC Datuk Posa Majais dalam satu kenyataan memohon maaf kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), FAM, penyokong serta pihak terlibat, susulan insiden tercetus dalam perlawanan membabitkan pasukannya dan Negeri Sembilan FC.

Posa berkata pihaknya juga menyerahkan sepenuhnya kepada MFL dan FAM untuk menyiasat individu yang terlibat dalam insiden itu sama ada dari Sarawak United FC mahupun pihak lain.

"Sebagai pasukan yang mempunyai integriti, kami juga mahu setiap perlawanan itu disertai dengan baik dan adil, agar setiap kekalahan dan kemenangan dapat diterima dengan baik kedua-dua pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 10:00 PM