INSIDEN  pengadil  menyepak Fazly pada aksi Piala FA antara Sabah dan Selangor di Stadium Likas.
INSIDEN pengadil menyepak Fazly pada aksi Piala FA antara Sabah dan Selangor di Stadium Likas.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membiarkan insiden membabitkan pengadil terlepas begitu saja apabila mengambil langkah segera melakukan siasatan untuk tindakan susulan.

Siasatan itu membabitkan insiden yang mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan ketika aksi Liga Perdana antara Kelantan dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat lalu dan perlawanan suku akhir, Sabah menentang Selangor di Stadium Likas, kelmarin.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram meminta semua pihak memberi mereka ruang untuk meneliti atau menyiasat secara terperinci mengenai insiden terbabit sebelum mengambil apa-apa tindakan yang sewajarnya.

"Kita baru siasat, bagi kami dua, tiga hari sebab kami akan panggil jawatankuasa penilai prestasi pengadil dan kami akan adakan mesyuarat," katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan isu pengadil terus menjadi 'buah mulut' penyokong bola sepak tempatan dengan insiden terbaharu pula membabitkan seorang pengadil menendang pemain ketika berlangsungnya perlawanan suku akhir Piala FA.

Jelas sekali, pengadil dan isu sensasi tidak dapat dipisahkan apabila situasi berkenaan berlaku ketika perlawanan Sabah FC dan Selangor FC (SFC) sebelum tular di media sosial atas tindakan yang dilakukannya pada perlawanan di Stadium Likas.

Insiden itu tercetus pada masa tambahan separuh masa pertama dengan The Red Giants sedang mendahului skuad Badak 1-0 menerusi gol seawal minit pertama oleh Hyuri Henrique.

Menerusi klip video yang tular, pertahanan SFC, Fazly Mazlan melakukan kekasaran kepada pemain Sabah FC, Baddrol Bakhtiar menyebabkan Baddrol tergolek di atas padang.

Selepas itu, Fazly dilihat 'bertekak' dengan pengadil perlawanan, Suhaizi Sukri namun secara tiba-tiba Suhaizi mengangkat kakinya sedikit ke arah Fazly dan penyokong menyifatkan tindakan itu seperti mahu menendang Fazly.

Terdahulu, kecoh di laman sosial selepas berlakunya insiden pengadil perlawanan tidak memberi kelebihan buat Kelantan FC pada aksi Liga Perdana menentang Johor Darul Ta'zim (JDTII) walaupun dalam situasi berpeluang menjaringkan gol sekali gus mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak berkaitan situasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 4:10 PM