NOOR Azman berkata jawatankuasa berkenaan melakukan penelitian dan berbincang mengenai beberapa insiden penting. FOTO Bernama
NOOR Azman berkata jawatankuasa berkenaan melakukan penelitian dan berbincang mengenai beberapa insiden penting. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Keputusan yang diambil pengadi perlawanan Hamdan Awang membabitkan perlawanan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah tepat sekali gus tidak timbul sebarang pertikaian atau berat sebelah.

Perkara terbabit disahkan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas melakukan siasatan terperinci termasuklah meneliti terhadap beberapa insiden membabitkan perlawanan itu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman berkata, jawatankuasa berkenaan melakukan penelitian dan berbincang mengenai beberapa insiden penting dalam perlawanan terbabit selepas menerima laporan penuh daripada Penilai Pengadil.

"Penilai Pengadil telah menghantar laporan yang mana beliau menyatakan bahawa keputusan-keputusan yang dibuat oleh pengadil pada perlawanan tersebut adalah betul dan tepat serta tiada sebarang isu atau kesilapan yang dilakukan.

"Laporan tersebut juga telah diteliti bersama oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang turut sependapat bahawa keputusan-keputusan yang dibuat oleh pengadil berkenaan adalah betul dan tepat tanpa sebarang kesilapan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai dua insiden yang menjadi pertikaian sesetengah pihak , Noor Azman berkata, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM mendapati bahawa secara jelas keputusan pengadil pada kedua-dua insiden berkenaan adalah tepat berpandukan kepada Undang-undang Permainan.

"Pertamanya, mengenai dakwaan bahawa pemain JDT, Bergson da Silva berkedudukan ofsaid ketika menjaringkan gol pertama JDT pada minit ke-36, ia memang tidak ofsaid kerana semasa bola disepak (hantaran dibuat), pemain tersebut tidak berada dalam kedudukan ofsaid.

"Berdasarkan Undang-undang 11 iaitu berkaitan ofsaid, kedudukan sama ada pemain itu ofsaid atau tidak adalah diambil kira ketika bola dimainkan (hantaran dibuat), bukannya semasa pemain menerima bola tersebut.

"Keduanya, mengenai sepakan penalti yang diberikan kepada JDT pada minit ke-57, ia memang keputusan yang tepat kerana berlaku tolakan oleh pemain Kedah Darul Aman FC ke atas pemain JDT mengikut Undang-undang 12," katanya.

Selain itu, Noor Azman turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada KDA FC walaupun jika terdapat sebarang pertikaian terhadap mana-mana keputusan pengadil bagi perlawanan itu.

"Biarpun tidak menerima sebarang aduan rasmi, kita tetap bertindak secara proaktif untuk meneliti laporan daripada Penilai Pengadil menerusi Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM bagi memastikan keputusan dibuat oleh pengadil itu adalah tepat atau sebaliknya, sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 3:31 PM