SIVASUNDARAM (kiri) pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pengadil FAM di Klang, semalam.
SIVASUNDARAM (kiri) pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pengadil FAM di Klang, semalam.

Kuala Lumpur: Dua pengadil yang mengendalikan aksi suku akhir pertama Piala Malaysia membabitkan T-Team dan FELDA United pada 28 Ogos lalu digantung tugas berkuatkuasa serta-merta.

Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan Datuk S Sivasundaram memutuskan untuk menggantung Khirul Azuan Kidam selama tiga bulan manakala penolong pengadil satu, Yusri Mohamad pula selama dua minggu.

Menurut Sivasundaram, selepas meneliti rakaman aksi dan laporan pengawas perlawanan, wujud kelemahan dari segi kedudukan pengadil ketika membuat keputusan yang kemudiannya menyumbangkan kepada beberapa keputusan tidak tepat.

Katanya, dua keputusan yang dibuat Khirulazuan pada minit ke-45 dan 52 ternyata silap namun insiden di minit ke-72 adalah tepat.

“Kami sudah menilai rakaman perlawanan itu dan dalam dua daripada tiga situasi keputusan pengadil didapati kurang memuaskan. Bagaimanapun keputusan pengadil dalam situasi minit ke-72 adalah tepat.

“Jadi kami memutuskan untuk merehatkan Khirul Azuan selama tiga bulan daripada mengadili apa-apa perlawanan dan penolong pengadil satu pula akan digantung selama dua minggu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sebelum itu, penyokong bola sepak Terengganu menghantar surat bantahan berhubung mutu pengadilan yang mengecewakan kepada FAM dan menuntut badan induk bola sepak itu menyiasat pegawai perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:34 AM