Penyerang TFC II, Jordan Mintah (tengah) terpaksa berehat kerana kecederaan. FOTO Ihsan TFC
Penyerang TFC II, Jordan Mintah (tengah) terpaksa berehat kerana kecederaan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Malang buat pasukan Liga Perdana, Terengganu FC II (TFC II) apabila penyerang utamanya, Jordan Mintah tidak dapat membantu pasukan pada perlawanan menentang PDRM FC, Ahad ini selepas mengalami kecederaan.

Situasi itu sudah pasti menggusarkan pengendalinya, Badrul Afzan Razali dalam misi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah selain mengintai peluang menamatkan saingan di kedudukan teratas liga.

Tambahan pula kehadiran penyerang kelahiran Ghana itu yang kini mendahului carta penjaring terbanyak dengan 14 gol memberi impak yang positif kepada rakan sepasukannya.

"Doktor memaklumkan Mintah terpaksa direhatkan sekurang-kurangnya seminggu kerana mengalami kecederaan pada bahagian siku selepas bertembung dengan penjaga gol Sarawak United FC (SUFC) dan kini masih dirawat di hospital.

"Ketiadaannya sudah pasti meresahkan kem pasukan untuk memburu jaringan berdepan dengan PDRM FC di tempat lawan nanti lebih-lebih lagi kita memerlukan khidmatnya untuk meneruskan rentak kemenangan selain mempertahankan rekod tanpa kalah.

"Malah semalam Mintah ada maklum dia begitu sedih dan terkilan kerana tidak dapat membantu pasukan dalam perlawanan penting itu apatah lagi semangatnya kian berkobar-kobar selepas menyumbat gol kemenangan ketika membenam SUFC 1-0 Selasa lalu," katanya.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 45 tahun itu tidak mahu mencipta alasan sebaliknya akan berusaha menilai prestasi penyerang tempatan untuk menggalas posisi yang ditinggalkan Mintah selain peluang kepada pemain tempatan untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Kita mempunyai ramai penyerang muda berbakat yang boleh diketengahkan termasuk Izzan Syahmi Mustapa dan Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali selain pemain Terengganu FC (TFC), Isa Rahman, jadi dengan masa yang berbaki dua hari ini kita akan cuba pemain berkenaan bagi memastikan kita tidak pulang dengan tangan kosong pada perlawanan itu," katanya.

Selepas 14 perlawanan, skuad The Turtles yang sempat bergelar pendahulu liga pada Selasa lalu kini menghuni di tangga kedua dengan mengutip 28 mata ketinggalan satu mata berbanding pendahulu, Negeri Sembilan FC (NSFC), namun TFC II mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 4:16 PM