REAKSI Nafuzi pada perlawanan Liga Super menentang SUFC. -FOTO Ghazali Kori
REAKSI Nafuzi pada perlawanan Liga Super menentang SUFC. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun hanya melakar kemenangan tipis 1-0 menumpaskan Sarawak United FC (SUFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi, pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akui tetap puas.

Pengendali berusia 44 tahun itu berkata, kepuasan bukan hanya terpancar di wajah barisan jurulatih, tetapi turut dirasai pemain selepas gagal mengutip mata penuh dalam empat aksi terdahulu.

"Syukur selepas empat perlawanan Liga Super, kini kami kembali mendapat tiga mata yang begitu berharga buat pasukan.

"Sebenarnya sukar untuk mengungkapkan dengan kata-kata melihat situasi pemain yang terpaksa melalui jadual perlawanan yang begitu padat, saya memahami keadaan mereka.

"Jadi rombakan terpaksa dilakukan kerana pemain terlalu penat ditambah ada pemain yang cedera dan demam selain beberapa pemain terpaksa disenaraikan kerana kita memerlukan khidmat mereka.

"Dengan usaha keras yang dipamerkan pemain sepanjang 90 minit, kita berjaya mendapat tiga mata, saya begitu terharu lebih-lebih lagi di depan ribuan penyokong setia," katanya ketika ditemui selepas berakhir pertemuan malam tadi.

Bagaimanapun Nafuzi tanpa berselindung akui ketumpulan jentera serangan masih menghantui skuadnya walaupun mereka beraksi dengan baik termasuk mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

"Seperti yang semua lihat, pemain sudah memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan, cuma gagal meletakkan bola di dalam jaring gol.

"Tapi malam ini mereka berjaya meledak satu gol, tapi saya percaya dengan usaha keras pemain, kita akan kembali menemui sentuhan jaringan pada aksi seterusnya," katanya akui kemasukan pemain sayap lincah, Mohd Faisal Halim berjaya mengubah corak permainan pasukannya pada babak kedua perlawanan.

Pada perlawanan itu, jaringan tunggal penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman pada minit ke-71, memastikan skuad Penyu tersenyum sekali gus mendaki di kedudukan keempat liga dengan mengumpul 20 mata hasil 14 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 12:24 PM