AKSI Messi menjaringkan penalti. FOTO EPA
AKSI Messi menjaringkan penalti. FOTO EPA
Agensi

Cuiabá, Brazil: Lionel Messi meledak dua gol dan membantu satu lagi jaringan ketika membantu Argentina menewaskan Bolivia 4-1 di Copa America pagi ini.

Messi turut mencipta sejarah apabila muncul pemain Argentina paling banyak tampil di pentas antarabangsa dengan 148 kap selepas memintas rekod bekas rakan sepasukan Javier Mascherano.

Di atas padang, Messi mempamerkan magis dengan meledak dua kali untuk menambah jumlah koleksi antarabangsanya kepada 75 gol selain membantu jaringan pembukaan pada aksi terakhir Argentina dalam Kumpulan A.

Messi melorongkan bola kepada Alejandro Gomez yang melakukan voli untuk gol pertama pada awal babak pertama sebelum pemenang enam kali Ballon d'Or itu menjaringkan penalti minit ke-33 dan kemudiannya menewaskan penjaga gol Carlos Lampe dengan melambungkan bola sembilan minit kemudian.

Erwin Saavedra merapatkan jurang untuk Bolivia pada minit ke-60 menerusi rembatan kencang namun Lautaro Martinez kembali melebarkan kedudukan dengan menolak mudah gol keempat Argentina tiga minit kemudian sekali gus mengesahkan mereka selaku juara kumpulan dan akan menentang Ecuador pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 10:45 AM