AKSI  Borja (tengah) berentap dengan pemain Peru. FOTO EPA
AKSI Borja (tengah) berentap dengan pemain Peru. FOTO EPA
Agensi

Goiania, Brazil: Peru menghidupkan kembali peluang dalam kempen Copa America selepas menewaskan Colombia 2-1 pagi ini.

Colombia lebih mendominasi perlawanan namun ketumpulan penyudah menghampakan mereka manakala Peru bijak memanfaatkan peluang menerusi Sergio Pena yang membuka tirai jaringan pada minit ke-17 dan gol kedua hasil jaringan sendiri Yerry Mina pada minit ke-64.

La Tricolor yang meraih empat mata daripada dua aksi terdahulu dengan tanpa bolos menyamakan kedudukan menerusi penalti Miguel Borja enam minit selepas babak kedua bermula.

Peru dibelasah 0-4 oleh juara bertahan, Brazil pada aksi pertama mereka tetapi kembali menduduki tangga ketiga Kumpulan A dengan empat daripada lima pasukan teratas mara ke peringkat seterusnya.

Colombia terlebih dahulu menguji Peru namun rembatan lencung Duvan Zapata tersasar dan pada minit ke-12, mereka hampir di depan namun percubaan dari luar kotak penalti Juan Cuadrado turut tersasar.

Peru mengejutkan salah satu pasukan pilihan itu apabila Pena meledak kencang dari jarak dekat selepas percubaan awal Yoshimar Yotun terkena palang pada minit ke-17 namun Colombia bangkit selepas rehat menerusi penalti Borja untuk gol penyamaan selepas dia dikasari penjaga gol Peru, Pedro Gallese.

Bagaimanapun, Peru kembali mendahului pada minit ke-64 apabila Mina tertampan bola ke gawang sendiri.

Borja hampir menyelamatkan pasukannya pada lewat permainan namun tandukan kencangnya tersasar pada lewat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 10:58 AM