PEMAIN Argentina meraikan kemenangan ke atas Paraguay.  FOTO AFP
PEMAIN Argentina meraikan kemenangan ke atas Paraguay. FOTO AFP
Agensi

Brasilia: Argentina layak ke suku akhir Copa America selepas menewaskan Paraguay 1-0 pagi ini sekali gus menamatkan kemarau kemenangan ke atas lawannya itu.

Argentina gagal menewaskan Paraguay dalam empat perlawanan sejak Copa 2015 tetapi La Albiceleste mengakhiri badi itu menerusi jaringan Papu Gomez.

Gomez meledak gol kemenangan pada minit ke-10 selepas tenang menewaskan penjaga gol Paraguay Antony Silva yang meluru keluar daripada posisinya untuk jaringan keduanya dalam enam penampilan antarabangsa.

Ketika Lionel Messi menyamai rekod penampilan terbanyak Argentina, skuad Lionel Scaloni melebarkan kemenangan mereka kepada 16 perlawanan di Brasilia.

Angel Di Maria dan Sergio Aguero membarisi kesebelasan utama buat kali pertama dan gandingan veteran itu tetap mengancam kubu lawan.

AKSI sengit perlawanan Argentina menentang Paraguay. FOTO  AFP
AKSI sengit perlawanan Argentina menentang Paraguay. FOTO AFP

Aguero berpeluang meletakkan Argentina di depan pada minit ketujuh hasil kesilapan pertahanan lawan namun rembatannya melepasi palang gol.

Tetapi tiga minit kemudian Argentina memecah kebuntuan selepas Gomez yang melepasi perangkap ofsaid tenang menolak bola melepasi jangkauan Silva.

Paraguay lebih mendominasi babak pertama dengan 55.2 peratus berbanding Argentina 44.8 peratus yang mengendurkan asakan selepas meledak gol pertama.

Argentina hampir mendapat gol kedua sejurus sebelum rehat namun jaringan sendiri pertahanan Paraguay Junior Alonso dibatalkan susulan ofsaid.

Paraguay bangkit dengan lebih garang pada babak kedua namun gagal mencipta peluang terbuka sekali gus membolehkan Argentina mara bagi memburu gelaran utama pertama sejak menjuarai Copa America 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 10:38 AM