AKSI Ronaldo (dua dari kiri) ketika sesi latihan di  Budapest,  semalam. FOTO AFP
AKSI Ronaldo (dua dari kiri) ketika sesi latihan di Budapest, semalam. FOTO AFP
Agensi

Budapest: Kapten Portugal Cristiano Ronaldo berkata dia lebih bermotivasi berbanding sebelum ini bagi membantu negaranya mempertahankan trofi Kejohanan Eropah.

Portugal menjuarai kejohanan pada 2016 dan memulakan kempen dengan menentang Hungary di Budapest dalam aksi pembukaan Kumpulan F, Selasa ini.

"Motivasi saya semakin meningkat malah lebih berbanding pada 2004 ketika saya beraksi kali pertama di Kejohanan Eropah," kata Ronaldo kepada Canal 11.

"Kami adalah juara bertahan dan kami sebahagian daripada kumpulan baharu untuk menjulang trofi."

Portugal mempunyai salah pasukan paling berbakat dengan pemain seperti Ronaldo, bintang Manchester United Bruno Fernandes dan pemain Manchester City Ruben Dias yang dipilih pemain terbaik Liga Perdana.

"Penyokong Portugal boleh menjangkakan perkara yang sama, pasukan kebangsaan yang bersemangat tinggi dan bercita-cita besar," kata Ronaldo.

"Kami berfikiran positif yang semua perancangan akan mengikut seperti ditetapkan. Saya bertanya kepada penyokong Portugal di tempat sendiri dan luar negara untuk turut sama berfikiran positif."

Penyerang Juventus itu yang akan tampil di Kejohanan Eropah kelimanya berkata, pasukannya telah bersedia.

"Kami bekerja keras, rakan sepasukan dan saya sendiri termasuk jurulatih akan memberikan yang terbaik untuk mengatasi Hungary,'' kata bintang berusia 36 tahun itu.

Selain Portugal, Kumpulan F yang dianggap kumpulan maut turut mengandungi Perancis dan Jerman yang bersaing merebut dua tiket automatik.

Ronaldo menjaringkan 104 gol dalam 175 penampilan antarabangsa, kurang lima berbanding catatan sepanjang zaman milik legenda Iran, Ali Daei yang meledak 109 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 12:00 PM