PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo (kanan) berlatih bersama rakan sepasukannya di Munich, menjelang perlawanan menentang Jerman, esok. FOTO EPA
PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo (kanan) berlatih bersama rakan sepasukannya di Munich, menjelang perlawanan menentang Jerman, esok. FOTO EPA
AFP

Munich: Bek tengah Portugal, Ruben Dias menggesa rakan sepasukannya bermula gagah pada kempen Euro 2020 dengan menewaskan Jerman, esok, sekali gus melangkah ke pusingan kalah mati.

Portugal yang juga juara bertahan, kini sebelah kaki ke pusingan berikutanya selepas Cristiano Ronaldo meledak dua gol menang 3-0 ke atas Hungary pada aksi pembukaan Kumpulan F di Budapest, Selasa lalu.

Kemenangan sulung ke atas Jerman dalam tempoh lebih 20 tahun akan memastikan Portugal mara, tetapi bek tengah Manchester City itu berkata, mereka mesti bersedia untuk pertarungan sengit di Allianz Arena.

"Kami perlu gagah memijak bumi, bermain lebih baik berbanding Jerman dan lebih baik berbanding ketika menewaskan Hungary)," kata Dias.

"Ini adalah pertarungan yang berlainan sama sekali," kata Dias, pada ketika Portugal terpaksa menunggu sehingga minit ke-84 sebelum merobohkan tembok pertahanan Hungary.

Portugal tewas semua empat perlawanan terakhir dengan Jerman. Mereka gagal menang selepas kemenangan 3-0 di peringkat kumpulan Euro 2000.

Bagaimanapun, prestasi Jerman kini tidak menentu dan tertekan untuk memungut mata sulung selepas tewas 0-1 kepada Perancis, Selasa lalu akibat gol sendiri Mats Hummels.

Jerman bertahan dengan baik ketika menentang juara dunia itu, tetapi gagal mencipta peluang dan jurulatih Joachim Loew mungkin mengubah formasi 3-4-3 kepada 4-4-2.

Apa saja rombakan dilakukannya, rakan sejawatnya, Fernando Santos berkata, Portugal sedia menghadapi mereka.

"Anda tidak boleh membandingkan Hungary dengan Jerman dan kami bersedia untuk berdepan apa saja cabaran dilemparkan," kata pengendali berusia 66 tahun itu.

Ronaldo sekali lagi akan menjadi tumpuan selepas menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah Kejuaraan Eropah dengan 11 gol daripada lima kejohanan.

Berbekalkan 106 gol daripada 176 perlawanan untuk Portugal, Ronaldo kini kurang tiga gol berbanding rekod terbanyak gol antarabangsa disandang Ali Daei yang menjaringkan 109 gol untuk Iran dari 1993 hingga 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 12:02 AM