BEK tengah Portugal, Pepe  (tengah) berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang perlawanan dengan Perancis, malam esok. FOTO EPA
BEK tengah Portugal, Pepe (tengah) berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang perlawanan dengan Perancis, malam esok. FOTO EPA
AFP

Budapest: Pemain pertahanan Portugal, Pepe berkata, juara bertahan itu mampu bangkit daripada kekalahan besar di tangan Jerman dan menewaskan pendahulu Kumpulan F, France, esok untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Euro 2020.

Kekalahan 4-2 di tangan Jerman di Munich menyaksikan Portugal menduduki tempat ketiga kumpulan sukar yang turut dibarisi Hungary dan tidak boleh tewas kepada Perancis di Budapest untuk meneruskan kemaraan.

"Kami kalah dan menang bersama-sama. Apabila bertemu Perancis, kami perlu lebih kemas dan mantap. Kami perlu menyamai kesungguhan seperti Jerman menewaskan kami sebelum ini untuk kekal dalam saingan," kata Pepe pada sidang media, hari ini.

"Kami ada keinginan tinggi untuk menunjukkan kemampuan sebenar."

Portugal memulakan misi mempertahankan gelaran dengan membelasah Hungary 3-0 di Budapest apabila Cristiano Ronaldo menyumbangkan dua daripada tiga gol saat akhir untuk muncul penjaring terbanyak Kejuaraan Eropah.

Tetapi, mereka kemudian kecundang di tangan Jerman, Sabtu lalu dan berdepan tekanan untuk menentang Perancis, yang diibaratkan aksi ulangan final edisi 2016 sebelum dimenangi Portugal 1-0 selepas masa tambahan.

"Kami hanya bergantung kepada diri sendiri untuk mara, itu yang paling penting," kata Pepe, 38, yang juga pemain tertua di Euro 2020.

"Kami sedar ia tugas sukar, tapi akan cuba yang terbaik untuk mencapai sasaran.

"Kami mampu mengutip enam daripada sembilan mata daripada kumpulan sukar ini. Ia seolah-olah menunjukkan kami tidak bagus, padahal realitinya kami bukan teruk sangat.

"Kami berdepan satu perlawanan dalam keadaan kurang baik, tetapi bola sepak biasanya memberi kamu peluang untuk bertindak balas pada perlawanan berikutnya."

Jika tewas kepada Perancis, Portugal masih mampu layak ke pusingan kalah mati sebagai antara empat pasukan tangga ketiga terbaik, asalkan Jerman tidak tewas kepada Hungary.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 11:49 PM