Agensi

Rome: Pemain pertahanan kelab Itali AS Roma, Chris Smalling berdepan detik cemas apabila diacukan senjata di depan isteri dan anaknya oleh perompak bertopeng selepas kediamannya di pecah masuk tiga suspek.

Bekas pertahanan England berusia 31 tahun itu, sedang tidur apabila perompak bersenjata itu menceroboh rumahnya sebelum dipaksa menyerahkan barang berharga kepunyaan keluarga itu.

Smalling yang pernah beraksi selama 10 musim di Manchester United, menyerahkan seutas jam tangan berjenama Rolex dan beberapa barang kemas, lapor dello Sport.

Isterinya, Sam Cooke, 35, menghubungi polis pada jam 5 pagi selepas insiden berkenaan di rumahnya di kawasan Appia Antica, Rome dan laporan berkenaan mendakwa insiden itu berlaku di depan anak kecil pasangan itu yang berusia dua tahun, Leo.

Roma beraksi pada suku akhir kedua Liga Europa semalam, namun Smalling mengalami kecederaan di bahagian buku lali.

Menurut laporan media tempatan, keluarga itu ketika ini sangat tertekan dengan kejadian berkenaan dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut.

Smalling menandatangani kontrak bersama Roma tahun lalu selepas setahun dipinjamkan. Pemain pertahanan itu meraih dua gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United.

Pemain itu berkahwin dengan Sam, seorang model pada Jun 2017 dan memperoleh anak pertama, Leo sebelum mereka berpindah ke Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 9:27 PM