SMALLING (tengah) menanduk masuk gol pertama susulan sepakan sudut. — FOTO EPA
SMALLING (tengah) menanduk masuk gol pertama susulan sepakan sudut. — FOTO EPA
AFP

FELIPE Caicedo meraih gol kemenangan untuk mengekalkan Lazio di tangga ketiga Serie A selepas menang 2-1 ke atas Sassuolo awal pagi tadi ketika pertahanan England, Chris Smalling meledak serta mencipta dua gol lagi buat musuh setempat AS Roma mengatasi Brescia sekali gus melonjak ke tangga keempat.

Juara bertahan Juventus mengekalkan cengkaman mereka di puncak Serie A dengan kemenangan 3-1 di Atalanta awal pagi semalam, untuk mendahului satu mata di depan Inter Milan yang mudah mengatasi Torino 3-0 dalam hujan lebat di Turin.

Dua kelab Rome itu kini di tangga ketiga dan keempat sebelum Cagliari, satu mata di belakang di tangga kelima, bermain di kelab bawahan Lecce awal pagi esok selepas perlawanan mereka malam tadi ditangguhkan kerana hujan lebat.

“Ia satu kejayaan penting,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi. “Tangga ketiga milik kami? Ia masih terlalu awal, kami di sana dan pasukan lain juga, setiap hari semuanya boleh berubah.”

CAICEDO (kiri) meraikan gol kemenangan Lazio bersama rakan sepasukan Manuel Lazzari. — FOTO EPA
CAICEDO (kiri) meraikan gol kemenangan Lazio bersama rakan sepasukan Manuel Lazzari. — FOTO EPA

Pendahulu penjaring terbanyak Serie A, Ciro Immobile meletakkan Lazio di depan selepas 34 minit dengan gol ke-15 musim ini namun Sassuolo menyamakan kedudukan menerusi Francesco Caputo sejurus sebelum rehat.

Caicedo dari Ecuador tampil dari bangku simpanan untuk memastikan kemenangan liga kelima berturut-turut pada masa kecederaan dan mengekalkan Lazio tujuh mata di belakang Inter Milan di tangga ketiga.

Roma kini dua mata di belakang musuh setempat mereka selepas Smalling mencetus kemenangan 3-0 ke atas kelab tercorot Brescia.

Smalling, yang dipinjamkan dari Manchester United, menanduk masuk gol pertama susulan sepakan sudut pada minit ke-48 di Stadio Olimpico.

Pemain berusia 30 tahun itu kemudian melakukan hantaran silang yang membolehkan Gianluca Mancini merembat masuk voli lapan minit kemudian dengan Edin Dzeko melengkapkan kemenangan pada minit ke-66 selepas Smalling menanduk bola ke arahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 8:18 AM