CHRIS Smalling, bekas bintang Manchester United. FOTO Agensi
CHRIS Smalling, bekas bintang Manchester United. FOTO Agensi
Agensi

Rom: Jose Mourinho memuji aksi Chris Smalling selepas bekas bintang Manchester United itu membantu Roma memastikan kemenangan bersih ketika melakarkan kemenangan 3-0 ke atas pasukan dari Ukraine, Zorya Luhansk dalam aksi Liga Conference Europa.

Gol dari Stephan El Shaarawy, Smalling dan bekas penyerang Chelsea, Tammy Abraham membolehkan Giallorossi meraih tiga mata penuh di Ukraine dengan mereka meneruskan rekod tanpa kalah sejak kempen kumpulan dengan kemenangan 5-1 pada perlawanan pembukaan menewaskan pasukan dari Bulgaria, CSKA Sofia.

Smalling terlepas empat perlawanan musim ini selepas mengalami kecederaan ketika latihan dan berdepan detik sukar untuk diturunkan dalam kesebelasan utama sejak dia kembali cergas.

Namun pemain berusia 31 tahun itu diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya selepas dipilih menggantikan pertahanan Itali, Gianluca Mancini dalam aksi Kumpulan C dan meledakkan gol kedua selepas 60 minit beraksi.

Mourinho yang membawa masuk bekas pertahanan Fulham di Old Trafford itu memuji persembahannya di dalam kotak penalti.

"Sejak dia pulih, dia sentiasa ada. Hari ini tanpa kehadiran Mancini dia dapat membantu pertahanan," kata pengendali dari Portugal itu.

"Dia bermain dengan sangat baik dan banyak berkomunikasi selain menjaringkan gol dan itu satu bonus yang bagus."

Sementara itu Abraham, yang meninggalkan Stamford Bridge untuk menyertai gergasi Itali itu pada musim panas lalu, meledakkan gol kemenpatnya musim ini dengan penamat yang baik dari tepi gawang pada minit ke-67.

Roma seterusnya akan melayan Empoli Ahad ini dan mereka sedang berusaha untuk memperbaiki posisi terkini yang kini menghuni tempat keempat dalam Serie A.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 12:35 PM