Stadium Nasional Bukit Jalil dijadikan stadium rasmi skuad bola sepak kebangsaan. FOTO File NSTP
Stadium Nasional Bukit Jalil dijadikan stadium rasmi skuad bola sepak kebangsaan. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan sahaja menaikkan imej gelanggang itu, malah ia turut memberi kelebihan buat skuad Harimau Malaya.

Keadaan rumput yang mudah tercabut bukan sahaja mengganggu rentak permainan pasukan yang beraksi di stadium itu tetapi ia juga boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau menyambut baik langkah berkenaan memandangkan badan induk itu sendiri mencadangkan kepada pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk membaik pulih permukaan padang itu.

Katanya, pengumuman Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes untuk menukar rumput yang lebih berkualiti amat tepat dan boleh dimanfaatkan oleh skuad negara terutama pada saingan Piala AFF hujung tahun ini ataupun aksi antarabangsa selepas ini.

"Saya rasa pandangan Tan Sri itu dah cantik (kemudahan dan fasiliti stadium) kalau tengok, cuma rumput saja. Memang hasrat beliau dan dalam mesyuarat untuk menukar rumput yang bertaraf antarabangsa.

"Jadi menurut Tan Sri dah dapat bajet dan Menteri (Kementerian Belia dan Sukan) dah beri kelulusan. Insya Allah bagus untuk pasukan Harimau Malaya ataupun buat pasukan mana yang bertanding nanti.

"Bermakna dalam Malaysia kita dapat satu lagi Stadium Nasional berkualiti. Dalam bola sepak, padang atau rumput ini yang mustahak, yang lain saya nampak semuanya dah cantik dan dah lalui penambahbaikan dua tiga tahun lalu," katanya.

FAM dan PSM memeterai perjanjian persefahaman dengan lanjutan perjanjian sehingga 31 Disember 2025 untuk Stadium Nasional terus menjadi gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dalam majlis itu, Tony mengesahkan peruntukan sejumlah RM10 juta bakal digunakan bagi menggantikan rumput lebih baik yang bertaraf antarabangsa.

Ketika ini, Stadium Nasional Bukit Jalil menggunakan rumput jenis 'Cow Grass' dan difahamkan kemungkinan rumput berkualiti tinggi iaitu jenis 'Zeon Zoysia' bakal digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 8:27 PM