Pengerusi PSM Tan Sri Tony Fernandes (kanan) pada sidang media hari ini berhubung lanjutan perjanjian penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai 'Rumah Harimau Malaya' bagi tempoh lima tahun akan datang.Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Sivasundaram Sithamparam (kiri). FOTO Bernama
Pengerusi PSM Tan Sri Tony Fernandes (kanan) pada sidang media hari ini berhubung lanjutan perjanjian penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai 'Rumah Harimau Malaya' bagi tempoh lima tahun akan datang.Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Sivasundaram Sithamparam (kiri). FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil bakal dinaik taraf sebagai antara stadium terbaik dunia dengan fokus utama menggantikan rumput baharu di venue itu.

Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes mengesahkan peruntukan sejumlah RM10 juta bakal digunakan bagi menggantikan rumput yang lebih baik bertaraf antarabangsa.

Katanya, masalah utama yang sering mencacatkan imej stadium itu hanyalah rumputnya hingga sering menjadi pertikaian pasukan luar negara apabila beraksi di situ.

"Stadium ini cukup cantik dan antara yang terbaik di dunia. Malah, berani saya katakan kemudahan dan reka bentuk stadium ini adalah antara yang terbaik di dunia ketika ini.

"Tetapi ada satu masalah iaitu rumput. Jadi saya dah bentangkan kepada kerajaan dan mereka bersetuju untuk menukar keadaan padang yang lebih baik.

"Saya mahu selepas ini pasukan luar yang datang bermain di sini contohnya Barcelona akan balik dengan kegembiraan kerana dapat beraksi di atas padang terbaik dan kemudahan stadium yang canggih," katanya ketika ditemui pada sidang media sempena perjanjian persefahaman di antara Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Pada majlis itu, FAM dan PSM mengumumkan lanjutan perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2025 untuk Stadium Nasional yang terletak di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) di Bukit Jalil terus menjadi gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya bagi tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu, Tony juga mengesahkan pihaknya merancang untuk membina sebuah muzium sukan di stadium berkenaan.

"Terdapat beberapa perancangan yang dibincangkan dengan pihak FAM seperti pembinaan muzium sukan dan sebagainya. Walau bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan dan memerlukan penilaian teliti supaya pelaksanaannya dapat memberi kesan positif kepada semua pihak," katanya yang akan mengakhiri tempoh perkhidmatan selaku Pengerusi PSM hujung bulan ini.

Kali terakhir skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe beraksi di Stadium Nasional ialah pada 19 November 2019 ketika menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan kelima Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum aksi berikutnya ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:32 PM