AKSI Piala Asia di Qatar menggunakan jenis rumput berkualiti tinggi seperti yang terdapat di SSI. FOTO Ihsan JST
AKSI Piala Asia di Qatar menggunakan jenis rumput berkualiti tinggi seperti yang terdapat di SSI. FOTO Ihsan JST
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilihan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor Bahru sebagai venue aksi persahabatan skuad Harimau Malaya dianggap tepat oleh pengendali negara, Kim Pan-gon.

Jelas jurulatih berasal dari Korea Selatan itu, aksi Piala Asia di Qatar pada Januari tahun depan menggunakan jenis rumput berkualiti tinggi seperti yang terdapat di SSI sekali gus membolehkan pemain membiasakan diri bermain di atas permukaan sama.

Katanya, beliau berterima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membenarkan anak buahnya mengadakan dua aksi persahabatan di SSI menentang Turkmenistan dan Hong Kong, hujung bulan depan.

"Ini pertama kali skuad saya bermain di Johor. Dengan stadium dan padang yang berkualiti, pemain boleh bermain lebih pantas kerana gerakan bola yang lebih laju.

"Perkara ini sangat mengujakan dan saya jangkakan perlawanan yang baik di Johor. Ia juga adalah masa yang tepat buat para pemain Harimau Malaya untuk menyesuaikan diri dengan padang di Johor.

"Ini kerana ianya mempunyai kualiti yang sama dengan stadium Piala Dunia di Qatar. Terima kasih kepada JDT kerana beri peluang untuk bermain di Johor," katanya.

Skuad Harimau Malaya sebelum ini kerap menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil yang menggunakan rumput Cow Grass yang tebal dan tidak sesuai untuk aksi antarabangsa.

Sebaliknya rumput di SSI lebih menepati kehendak perlawanan peringkat dunia di mana rumput jenis Zeon Zoysia digunakan sama seperti beberapa stadium di Qatar yang turut menjadi venue Piala Dunia hujung tahun lalu.

"Apabila kita menggunakan rumput lebih di SSI, kita boleh mempraktikkan permainan bercorak pantas dengan intensiti yang lebih tinggi.

"Ia sudah tentunya sedikit apabila kita main di Bukit Jalil sebelum ini, di mana pergerakan bola dan pemain agak perlahan dan pemain cepat penat. Jadi kita akan dapat biasakan pemain di atas rumput lebih baik sebelum ke Piala Asia nant," kata Pan-gon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 1:02 PM