AUBAMEYANG (tengah) muncul wira Arsenal dalam aksi Perisai Komuniti awal pagi tadi. FOTO AFP
AUBAMEYANG (tengah) muncul wira Arsenal dalam aksi Perisai Komuniti awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

PIERRE-Emerick Aubameyang membuktikan kepada Arsenal bahawa dia sangat bernilai dengan melakukan jaringan luar biasa dan mengesahkan kemenangan The Gunners dalam penentuan penalti ketika mengalahkan Liverpool 5-4 selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada masa sebenar Perisai Komuniti awal pagi tadi.

Aubameyang meletakkan pasukan bimbingan Mikel Arteta di depan pada separuh masa pertama dalam perlawanan yang berlangsung di Wembley hasil rembatan menarik.

Pemain kelahiran Jepun, Takumi Minamino menyamakan kedudukan melalui jaringan pertamanya bersama Liverpool pada lewat babak kedua dalam aksi tradisi permulaan musim antara juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA musim lalu.

Dalam penentuan penalti, penyerang muda Liverpool, Rhian Brewster, satu-satunya pemain gagal menyempurnakan tugas, apabila sepakannya terkena palang sebelum Aubameyang tenang memberikan kemenangan buat Arsenal.

Jika Arteta memerlukan panduan, ia adalah satu petunjuk yang dibuktikan oleh ketua pasukannya, Aubameyang, yang belum lagi mengesahkan masa depannya bersama kelab berkenaan selepas memasuki tahun terakhir kontraknya.

Penyerang antarabangsa Gabon itu membuatkan Arsenal ternanti dengan penuh debar dalam perbincangan yang masih berlarutan dan dia kecewa ketika ditanya selepas perlawanan sama ada dia bersedia untuk menerima tawaran kelab.

"Kita akan lihat apa yang akan berlaku, hari ini kita hanya mahukan trofi dan itu saja," katanya.

Arteta tetap yakin bahawa pemain berusia 31 tahun itu akan kekal tapi dia perlu berharap status pemain harapannya itu selesai sebelum EPL bermula 12 September ini.

"Kita semakin hampir. Dia sangat hebat dalam perlawanan Piala FA dan sekali lagi membuktikannya hari ini. Saya cuba untuk melakukan tugas saya, di mana mahu meyakinkannya berada di tempat yang betul," kata Arteta.

Bagi Liverpool, ini adalah kali kedua berturut-turut mereka tewas dalam Perisai Komuniti melalui penentuan penalti selepas musim lalu kalah kepada Manchester City.

Ia tidak terlalu membimbangkan jurulatih Jurgen Klopp selepas penyandang juara liga itu kurang rehat dan persiapan sejak muncul juara liga buat kali pertama sejak 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 7:56 AM