Pierre-Emerick Aubameyang. FOTO Reuters
Pierre-Emerick Aubameyang. FOTO Reuters
Agensi

London: Kelab Arab Saudi, Al-Hilal dilaporkan sedia membayar gaji Pierre-Emerick Aubameyang dalam usaha menandatangani penyerang itu secara pinjaman dari Arsenal, bulan ini.

Aubameyang semakin disisihkan pengendali Mikel Arteta di Stadium Emirates selepas gagal beraksi buat kelab itu sejak 6 Disember lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu tidak berada dalam perancangan pasukan utama dan dilucutkan tugas kapten di kelab susulan masalah disiplin bulan lalu sekali gus terdapat khabar angin bahawa Gunners akan menyenaraikan pemain itu pada jendela perpindahan pemain.

Al-Hilal dilaporkan bersedia menerima tawaran yang membolehkan mereka mendapatkan khidmat secara pinjaman untuk baki musim ini dengan pilihan untuk perpindahan tetap pada penghujung saingan.

Gergasi Arab yang kini dikendalikan oleh bekas bosnya di Monaco, Leonardo Jardim dilaporkan sanggup memenuhi gaji £350,000 (RM1.98 juta) mingguan bagi penyerang itu sepanjang tempoh pinjaman.

Sebuah lagi kelab Arab Saudi, Al-Nassr turut dilaporkan berminat mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan Gabon itu selain beberapa kelab Eropah termasuk Paris Saint-Germain, AC Milan, Juventus, Sevilla dan Marseille yang menyatakan minat mereka.

Aubameyang menjaringkan tujuh gol dalam 15 penampilan buat Arsenal musim ini, sekali pun hanya empat jaringan hadir ketika 14 penampilan di saingan Liga Perdana Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 3:01 PM