Pemain Atalanta, Matteo Pessina (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi Piala Itali. FOTO AFP
Pemain Atalanta, Matteo Pessina (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi Piala Itali. FOTO AFP
AFP

Milan: Pemain Itali, Matteo Pessina menjaringkan dua gol ketika Atalanta menewaskan penyandang juara, Napoli, 3-1 secara agregat pagi ini, untuk mengesahkan tempat ke final Piala Itali.

Jaringan Pessina kedua-duanya menerusi umpanan Duvan Zapata, sudah cukup untuk mengesahkan final kedua Atalanta dalam tiga musim.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama dan Atalanta akan berdepan Juventus di final.

Semalam, Juve seri tanpa jaringan berdepan Inter Milan yang membawa mereka ke final pada 19 Mei di Rome selepas menang perlawanan pertama 2-1.

"Ia kepuasan hebat. Kami hadiahkan kemenangan ini kepada penyokong," kata jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini.

"Kami akan memikirkan mengenai final itu nanti. Bagi kami ia salah satu yang sudah menjadi kejayaan hebat.

"Kini kami akan melalui banyak perlawanan penting, kami akan menanti kehadiran Real Madrid. Itu akan menjadi acara penting di Bergamo," katanya menjelang aksi berdepan gergasi Sepanyol itu pada kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara pada 24 Februari.

Gasperini melakukan empat pertukaran selepas seri berdepan Torino dengan skuadnya kini ketinggalan tiga mata berbanding Roma bagi merebut tempat terakhir ke Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 9:14 AM