Pemain tengah Atalanta, Mario Pasalic (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Pemain tengah Atalanta, Mario Pasalic (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

MARIO Pasalic menjaringkan hatrik ketika Atalanta membelasah musuh setempat yang bergelut, Brescia, 6-2 untuk melonjak ke tangga kedua Serie A, pagi ini.

Skuad kendalian Gian Piero Gasperini melanjutkan rekod tanpa kalah dalam 13 perlawanan berturut-turut untuk berada enam mata di belakang pendahulu, Juventus yang berdepan pasukan di tangga kelapan, Sassuolo awal pagi esok.

Inter Milan dan Lazio hanya dua mata di belakang Atalanta sebelum mereka beraksi berdepan SPAL dan Udinese minggu ini.

Anak buah Gasperini sudah menjaringkan 93 gol dalam liga setakat musim ini - lebih 26 daripada juara bertahan lapan kali, Juventus.

"Kami bukan melakukannya untuk memalukan lawan, tetapi kami cuba bermain permainan kami," kata Gasperini.

"Tahun lalu kami sudah membuktikan antara serangan yang terbaik dalam liga, tahun ini kami perlu menggandakan usaha kami, menjaringkan banyak gol dengan pemain yang berlainan.

"Beraksi di Liga Juara-Juara membantu kami dan meningkatkan permainan kami," tambah Gasperini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 8:03 AM