NOVA bersama Rexy (tengah) pada sesi latihan pasukan badminton negara di Akademi Badminton Malaysia. FOTO Owee Ah Chun
NOVA bersama Rexy (tengah) pada sesi latihan pasukan badminton negara di Akademi Badminton Malaysia. FOTO Owee Ah Chun
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto diletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk membawa pasangan negara layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

KPI itu ditetapkan sendiri oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, sambil memberitahu Nova bersedia untuk menyahut cabaran yang diletakkan di bahunya itu meskipun mengakui ia bukan tugas mudah.

"Selain itu, dia juga diletakkan KPI untuk memperbaiki kelemahan pemain negara di dalam gelanggang.

"Saya percaya dia sudah mempunyai gambaran awal mengenai apa yang perlu dipertingkatkan kerana sebelum ini dia pernah duduk di tempat jurulatih ketika pemain negara beraksi menentang pasangan Indonesia.

"Dia juga memberitahu akan melihat secara individu dan rancang apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki permainan pemain di dalam gelanggang," kata Rexy.

Untuk rekod, dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing diletakkan sebagai prospek bagi memburu tiket beraksi di Paris.

Bagaimanapun, ia tidak mudah dengan kedua-dua pasangan itu perlu bersaing dengan dua beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang ketika ini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Ini kerana, setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam acara beregu beraksi di Sukan Olimpik sekiranya kedua-duanya berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan ke temasya terbesar dunia itu.

Dalam pada itu, Rexy berkata, beliau percaya dirinya mampu menjalin kerjasama yang baik dengan Nova berdasarkan pengalaman mereka yang lalu ketika berkhidmat di Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia sebelum ini.

"Ketika saya menjadi Pengarah Prestasi Tinggi di PBSI, saya memang bekerja dengan Nova selaku jurulatih. Jadi, saya fikir tiada masalah kerana saya sudah tahu cara kerja dia dan dia pun tahu cara kerja saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 5:52 PM