JIN Wei risau kerana tidak ditemani jurulatih sepanjang beraksi ke Paris 2024 nanti. FOTO ARKIB NSTP
JIN Wei risau kerana tidak ditemani jurulatih sepanjang beraksi ke Paris 2024 nanti. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa menerima hakikat betapa dia akan ke temasya Olimpik Paris 2024 tanpa jurulatih.

Perkara itu nyata menggusarkan dirinya kerana terpaksa beraksi di gelanggang tanpa ada sokongan dan dokongan daripada jurulatih di belakang.

Jin Wei yang ditemui ketika sesi lawatan Ketua Kontinjen (CDM) ke temasya Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin di Bubble Sports Centre di sini, hari ini berkata, perkara itu sudah diusulkan kepada pihak berwajib sekian lama, namun tiada sebarang maklum balas positif yang diterima.

Justeru dia terpaksa akur akan ke Paris 2024 tanpa ditemani jurulatihnya iaitu Nova Armanda ketika Olimpik hanya berbaki 31 hari.

"Saya seorang saja tak ada jurulatih. Seharusnya setiap atlet layak ke Olimpik kena ada jurulatih masing-masing, tapi saya tak tahu kenapa jurulatih saya tak dapat pergi sebab dia tidak mempunyai kad akreditasi.

"Kejohanan ini (Olimpik) peluangnya datang sekali seumur hidup, amat penting.

"Saya sudah tanya perkara ini kepada mereka (Majlis Olimpik Malaysia) tapi tak ada sebarang maklum balas.

"Sebagai pemain terutama ketika pergi ke kejohanan berprestij ini, mestilah kena ada jurulatih kerana dia boleh membantu saya, tapi sekarang tak ada jurulatih jadi kacau sedikitlah. Saya pun tak tau kenapa jurulatih saya tak dapat pergi," katanya.

Jin Wei berkata, dia sudah tiga tahun mendapat sentuhan Nova dan pastinya jurulatih kelahiran Indonesia itu tahu selok-belok kelebihan dan kelemahannya terutama ketika dalam perlawanan penting.

Ditanya sama ada dia bersedia mendapatkan sentuhan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain berusia 24 tahun itu berkata, tidak pasti sama ia akan dapat membantu kerana mereka tidak mengikuti perkembangan latihannya selama ini.

"Kalau BAM nak bantu pun susah, mereka tak melatih saya. Saya pun tak nak kacau rancangan mereka kerana mereka ada KPI (petunjuk prestasi utama) mereka sendiri.

"Mereka tak melatih saya, jadi memang susah. Kerisauan utama saya adalah diri saya sendiri," katanya.

Mengulas mengena perkara itu, Hamidin berkata, beliau mengambil maklum akan perkara itu dan sudah mengusulkan permasalahan Jin Wei kepada BAM.

Katanya, BAM mengambil maklum perkara itu dan sepanjang di Paris nanti. Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky akan bertanggungjawab terhadap juara remaja dunia 2015 dan 2018 itu.

Hamidin berkata, isu berlaku kepada Jin Wei itu adalah kerana Malaysia menghantar bilangan atlet yang rendah, sekali gus memberi kesan kepada had pengeluaran kad akreditasi kepada pegawai pengiring.

Jin Wei berkata, dia akan berlepas ke Paris pada 23 Julai dan terus masuk ke perkampungan sukan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:16 PM