NORZA (tengah) bersama ahli barisan panel Penasihat Teknikal ABM pada sidang media selepas menyuarat, hari ini.
NORZA (tengah) bersama ahli barisan panel Penasihat Teknikal ABM pada sidang media selepas menyuarat, hari ini.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Barisan pemain badminton negara mendapat tonik baharu menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mendapat sentuhan dan bimbingan barisan legenda negara.

Ini bermakna, mereka berpeluang untuk berguru dengan bekas pemain seperti Datuk Lee Chong Wei, Ong Ewe Hock dan Roslin Hashim dalam acara perseorangan, manakala dalam acara beregu pemain boleh menimba pengalaman daripada Datuk Cheah Soon Kit dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Bagaimanapun, usul dicadangkan dalam Mesyuarat Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang bersidang buat kali pertama, hari ini, tertakluk dengan perancangan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan dan Beregu, iaitu Wong Choong Hann dan Rexy Mainaky bagi memastikan segalanya selari dengan program sedia ada.

"Antara perkara dipersetujui adalah barisan legenda ini diberikan peranan sebagai mentor, contohnya Kien Keat dan Boon Heong, mereka adalah legenda dalam acara beregu lelaki, jadi mereka akan menolong untuk menguruskan acara itu, melalui persetujuan Rexy Mainaky.

"Bagi perseorangan lelaki, Chong Wei, Ewe Hock dan Roslin akan bekerjasama dengan Choong Hann, dan saya katakan kepada mereka semua, ini tanggungjawab bersama untuk mendapatkan keputusan yang terbaik untuk negara.

"Bermula Mei ini sehingga April tahun hadapan adalah tempoh amat genting untuk badminton negara kerana bermulanya kelayakan ke Sukan Olimpik Paris, jadi barisan legenda boleh membantu kami kerana kadang kala pemain kita mempunyai masalah keyakinan diri.

"Mungkin dengan kehadiran legenda ini, mereka akan lebih selesa untuk berbicara kerana mereka sebenarnya takut untuk meluahkan apa yang terbuku di hati kepada saya sebagai presiden atau kepada jurulatih mungkin disebabkan takut dan sebagainya," jelas Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media selepas tamat mesyuarat.

Pada masa sama, Norza tidak menolak barisan legenda itu mungkin akan dilantik sebagai pengurus untuk skuad negara bagi menghadapi tugasan penting pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu tertakluk kepada jadual dan komitmen mereka memandangkan kehadiran mereka di ABM adalah secara pro-bono.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 8:14 PM