ZII Jia sudah memulakan latihan secara sendiri bermula semalam. FOTO ARKIB NSTP
ZII Jia sudah memulakan latihan secara sendiri bermula semalam. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia tidak akan menyertai kem latihan pusat skuad Piala Thomas negara selama seminggu di Akademi Badminton Malaysia (ABM), bermula esok bagi kempen di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

TeamLZJ dalam satu kenyataan berkata, Zii Jia sudah memulakan latihan secara sendiri bermula semalam, iaitu sebaik sahaja pulang dari Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China.

Kenyataan itu memaklumkan, Zii Jia akan menyertai skuad Piala Thomas negara apabila mereka bersama-sama terbang ke Chengdu pada 24 April ini.

"Program latihan dan segala yang diatur Pengarah Kejurulatihan TeamLZJ, Wong Tat Meng akan mempersiapkan Zii Jia untuk mempamer aksi terbaiknya pada saingan Piala Thomas dan mengekalkan prestasi semasanya bagi lima lagi kejohanan akan datang selepas ini.

"Program latihan ini, yang dilakukan berasingan daripada pasukan Piala Thomas, sudah dibincangkan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan disokong Pengarah Kejurulatihan, Rexy Mainaky dan Ketua Pentadbiran, Michelle Chai.

"Kami berterima kasih kepada BAM, Rexy dan Michelle kerana memahami dan mempercayai kami untuk menguruskan rancangan latihan dalam jadual kejohanan yang padat menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

"Zii Jia tidak sabar untuk menyertai skuad pada 24 April ini," kata kenyataan itu.

Terdahulu Zii Jia disenaraikan bagi menggalas cabaran Malaysia di China nanti.

Michelle mengesahkan pemain di ranking ke-11 dunia itu akan menerima bayaran pampasan bagi menyarung jersi negara dalam setiap perlawanan disertainya sepanjang kempen Piala Thomas di Chengdu.

Selain Zii Jia, pemain perseorangan lelaki negara turut dibarisi Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Bagi acara beregu lelaki, beregu negara yang kini berada di ranking kelima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan membawa cabaran utama sambil dibantu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 1:41 PM