WOOI Yik (kiri) dan Aaron kecundang di separuh akhir. FOTO Badminton Photo
WOOI Yik (kiri) dan Aaron kecundang di separuh akhir. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Harapan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik menamatkan kemarau gelaran di pentas antarabangsa sekali lagi musnah apabila kecundang ditangan pasangan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada aksi separuh akhir di Impact Arena, Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Jelas sekali kesilapan mudah dilakukan pasangan negara yang berada di ranking keenam dunia itu memberi kelebihan kepada lawan memungut mata sekali gus mengakhiri perlawanan dengan kemenangan 21-19, 21-14.

Kini, harapan negara terletak kepada pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia apabila berjaya menempah slot final selepas menewaskan rakan sepasukan Liew Daren.

Walaupun berjaya melangkah ke final,ternyata bukan mudah buat Zii Jia apabila terpaksa berhempas pulas untuk mengalahkan Daren yang juga rakan sepelatihnya selama tiga set dalam tempoh 51 minit sebelum menang 21-16, 13-21, 21-14.

Jelas sekali, Daren yang dilihat sudah berusia namun masih mampu memberikan tentangan sengit kepada pemain perseorangan nombor satu negara itu apabila turut mencatatkan kemenangan pada set kedua.

Kini, Zii Jia berpeluang merangkul gelaran antarabangsa keduanya dalam tahun ini selepas terdahulu menjuarai Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina pada 1 Mei lalu.

Zii Jia akan bertemu dengan perseorangan dari China, Li Shi Feng yang menundukkan wakil dari Jepun, Kodai Naraoka 21-19,16-21,21-19.

Sementara itu beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pula tumpas kepada pasangan dari Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida 17-21,17-21 sekali gus menyaksikan hanya Zii Jia akan beraksi di pentas final Terbuka Thailand esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 9:25 PM