Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King
Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berjaya menumbangkan dua gandingan pilihan dan mara ke separuh akhir, beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King layak dilabel sebagai pemain paling menyerlah pada Masters Malaysia kali ini.
Pasangan ranking ke-47 dunia itu mempamerkan peningkatan prestasi yang cukup positif dan meraih pencapaian terbaik dalam kejohanan Super 500 sejak digandingkan Julai tahun lalu.

Dalam laluan ke separuh akhir, Arif-Roy King berjaya menyingkirkan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan (pilihan keempat) di pusingan kedua.

Selain itu, pasangan nombor dua Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard (pilihan keenam) juga menjadi mangsa mereka.

Laluan Wan Arif-Roy King tersekat di separuh akhir selepas tewas kepada beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang juga pasangan nombor empat dunia 13-21, 19-21, semalam.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky, beliau gembira dengan peningkatan ditunjukkan Arif-Roy King sehingga memberi penilaian cukup tinggi kepada beregu berkenaan.

"Apa yang ditunjukkan Arif dan Roy King pada kejohanan ini sangat positif. Mereka berjaya catat kemenangan ke atas pemain-pemain yang menghuni ranking di atas mereka.

"Mereka tewaskan pilihan keempat dan keenam. Selain itu, mereka juga hampir untuk mengheret pilihan kedua beraksi di set penentuan.

"Walaupun kalah di separuh akhir tetapi saya boleh bagi mereka sembilan daripada 10 markah," kata Rexy.

Bagaimanapun, bekas juara dunia dan Olimpik itu mahu Arif-Roy King kekal merendah diri dan terus bekerja keras bagi melonjakkan lagi prestasi pada kejohanan akan datang.

"Harapan saya kepada mereka adalah supaya mereka tidak mudah besar kepala selepas ini dan terus menampilkan aksi lebih baik dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang," katanya.

Sebagai rekod, tiada pemain daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mara ke final pada Masters Malaysia kali ini dengan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut terkandas di separuh akhir semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 1:27 PM