AARON-WOOI YIK akan beraksi di Terbuka Malaysia. -FOTO NSTP
AARON-WOOI YIK akan beraksi di Terbuka Malaysia. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penamat musim yang kurang memberangsangkan akan cuba dilupai pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia yang bertekad untuk memulakan saingan 2023 dengan baik.

Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik mahu membuka lembaran baru dengan cemerlang apabila tugas pertama mereka untuk 2023 bermula di saingan Terbuka Malaysia minggu depan.

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, mereka dalam fasa terakhir mempersiapkan diri untuk turun beraksi di kejohanan berstatus Super 1000 di laman sendiri.

"Semuanya dalam keadaan baik namun hanya tinggal seminggu sahaja tempoh buat kami mempersiapkan diri," katanya yang mencipta sejarah tahun lalu apabila menjadi pemain Malaysia pertama muncul juara dunia bersama Wooi Yik.

Ujar Aaron, bukan sahaja Terbuka Malaysia sangat penting buat mereka tahun ini malah semua kejohanan yang menawarkan mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Dia mengakui tidak boleh berasa selesa selaku gandingan nombor satu negara kerana pasangan rakan senegara yang lain juga sudah pasti berlumba-lumba untuk mendapatkan slot ke temasya berkenaan.

"Tahun ini adalah sangat penting buat kami kerana ia bermula dengan kelayakan ke Olimpik," kata Aaron yang berusia 26 tahun.

Aaron-Wooi Yik bakal bersaing dengan pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan dua lagi pasangan rakan sepelatih, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Dalam saingan Jelajah Dunia Akhir bulan lalu, Aaron-Wooi Yik tumpas ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan yang menyebabkan mereka gagal mara ke separuh akhir.

Sebelum itu perjalanan mereka di Terbuka Perancis berakhir awal apabila tumpas di pusingan pertama kepada beregu China, Liang Wei Kang-Wang Chang 13-21, 14-21.

Di Terbuka Malaysia minggu depan yang akan bermula dari 10 hingga 15 Januari, mereka akan berdepan pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 1:47 PM