ANTARA aksi Aaron (kanan) dan Wooi Yik hari ini. FOTO Badminton Photo
ANTARA aksi Aaron (kanan) dan Wooi Yik hari ini. FOTO Badminton Photo
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan mara ke pusingan kedua Terbuka India selepas menumpaskan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi pembukaan sebentar tadi.

Diletakkan sebagai pilihan ketiga, Aaron-Wooi Yik dipaksa berhempas-pulas dalam set pertama sebelum tenang mencatatkan kemenangan 23-21, 21-10.

Mereka yang juga juara dunia tahun lalu, akan berdepan wakil Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan yang sebelum itu menang ke atas Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-14, 21-13.

Minggu lalu Aaron-Wooi Yik yang juga pasangan nombor tiga dunia tidak berdepan masalah menumpaskan Jhe Huei-Po Hsuan di pusingan pertama Terbuka Malaysia sebelum tunduk kepada pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 10-21, 21-23 sekali gus gagal mara ke suku akhir.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak mahu mengulas lanjut mengenai prestasi satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang tumpas di pusingan pertama semalam.

Sze Fei-Izzuddin tumpas 19-21, 17-21 kepada wakil China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang sekali gus mengulangi episod buruk di Terbuka Malaysia minggu lalu apabila ditunjukkan jalan keluar oleh satu lagi gandingan negara Tembok Besar, 21-16, 11-21, 17-21.

"Saya tak mahu komen apa apa, nanti apabila pulang saya akan jumpa mereka. Dengan kalah di dua kejohanan di pusingan pertama ia sangat tidak bagus," kata Rexy yang juga bekas pemain beregu lelaki Indonesia.

Sze Fei-Izzuddin dijangka bertemu satu lagi pasangan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong di pusingan pertama Masters Indonesia minggu depan.

Tahun lalu mereka bermula dengan cemerlang apabila muncul juara Terbuka Jerman pada Mac sebelum diikuti dengan meraih naib juara di Terbuka Switzerland pada bulan yang sama.

Pencapaian terbaik mereka selepas itu ialah mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia sebelum kedua-duanya bertemu sesama sendiri di final Cabaran Antarabangsa Malaysia apabila Sze Fei bergandingan bersama Goh Boon Zhe, manakala Izzuddin yang muncul juara berpasangan dengan Muhammad Haikal Nazari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 2:27 PM