TANG Jie (kanan) dan Ee Wei gagal menyaingi kehebatan Dechapol-Sapsiree di final Masters Thailand, hari ini. FOTO ARKIB NSTP
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei gagal menyaingi kehebatan Dechapol-Sapsiree di final Masters Thailand, hari ini. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Aksi sengit diharapkan di final Masters Thailand membabitkan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak berlaku selepas mereka tumpas kepada jaguh tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Pertembungan antara pilihan utama dan kedua itu yang diharapkan mampu berlangsung sehingga rubber set tidak menjadi kenyataan apabila Tang Jie-Ee Wei yang memburu kejuaraan ketiga Jelajah Dunia BWF kalah 12-21, 18-21 di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Tang Jie-Ee Wei yang juga gandingan kesembilan dunia sering melakukan kesilapan mudah sehingga memberi mata percuma kepada lawan terutama di set pertama.

Hasrat mereka untuk bangkit di set kedua dilihat mempunyai sedikit sinar, namun Dechapol-Sapsiree liat untuk ditumbangkan terutama dengan sokongan padu peminat sendiri.

Kedudukan naib juara menyaksikan Tang Jie-Ee Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$7,980 (RM37,645), manakala Dechapol-Sapsiree yang juga gandingan keenam dunia, meraih AS$16,590 (RM78,263).

Kekalahan itu menyaksikan rekod Tang Jie-Ee Wei ketika berdepan juara dunia 2021 terus merosot kepada 1-5 dengan kemenangan tunggal dicatatkan ketika di suku akhir Terbuka Artik tahun lalu apabila mereka menang straight set 21-14, 21-17.

Tuan rumah turut berbangga dengan kemenangan pilihan kedua beregu wanita, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard selepas menjinakkan wakil China, Li Yi Jing-Luo Xu Min 21-13, 17-21, 27-25.

Kejayaan dua wakil berkenaan mengubat kedukaan aksi beregu lelaki, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul yang kalah kepada pilihan kelima dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 21-16, 14-21, 13-21.

Peminat tuan rumah turut kecewa dengan kekalahan perseorangan wanita yang juga pilihan keempat, Supanida Katethong kepada pemain berpengalaman Jepun, Aya Ohori 21-18, 17-21, 13-21.

Dalam aksi perseorangan lelaki, Chou Tien Chen dari Taiwan menghalang wakil Singapura, Loh Kean Yew untuk muncul juara selepas menang 21-16, 6-21, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 8:35 PM