TANG Jie (kiri) dan Toh Ee mara ke final Masters Thailand. FOTO ASWADI ALIAS
TANG Jie (kiri) dan Toh Ee mara ke final Masters Thailand. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas tiga kali berturut-turut terkandas di pusingan kedua, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei seakan tersedar dari lamunan apabila berjaya mara ke final Masters Thailand bagi mencatatkan pencapaian paling cemerlang untuk musim 2024.

Tang Jie-Ee Wei yang memburu slot ke Sukan Olimpik buat kali pertama berjaya memenangi aksi separuh akhir di Stadium Nimibutr, Bangkok selepas mengalahkan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-11, 21-17 dalam aksi selama 33 minit.

Menanti pasangan kesembilan dunia itu di perlawanan akhir esok ialah wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang sebelum itu mengalahkan gandingan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-17, 21-14.

Berdasarkan rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei yang juga pilihan kedua kejohanan, hanya menang sekali sahaja ketika bertemu pasangan Thailand itu dalam lima pertemuan sebelum ini.

Kemenangan itu dicatatkan ketika di suku akhir Terbuka Arctic tahun lalu di mana mereka menang straight set 21-14, 21-17.

Jika berjaya muncul juara esok ia akan mengukuhkan kedudukan Tang Jie-Ee Wei untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024 dan juga kejuaraan Jelajah Dunia BWF ketiga diraih mereka selepas tahun lalu menggondol trofi Masters Orleans serta Terbuka Taiwan.

Tang Jie-Ee Wei yang digandingkan sejak hujung 2022 turut pernah meraih kejuaraan di Cabaran Antarabangsa Bangladesh (2022) dan Cabaran Antarabangsa Iran (2023).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 8:19 PM