AARON (kanan) dan Wooi Yik berpeluang menguji gelanggang rasmi Paris 2024 di Terbuka Perancis. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kanan) dan Wooi Yik berpeluang menguji gelanggang rasmi Paris 2024 di Terbuka Perancis. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain utama badminton negara mendapat pengalaman berharga di Paris apabila berpeluang menguji gelanggang rasmi Sukan Olimpik Paris 2024 ketika beraksi di Terbuka Perancis, bermula hari ini.

Kejohanan Super 750 itu menjadi acara 'perasmian' bagi Arena Porte de la Chapelle yang dibuka awal bulan lalu.

Arena Porte de la Chapelle adalah dewan serbaguna yang dibina dengan kos 125 juta euro (RM641.50 juta) dan mempunyai kapasiti 8,000 tempat duduk bagi penganjuran acara sukan manakala 9,000 untuk tujuan konsert.

Terbuka Perancis tahun ini diawalkan berbanding kebiasaannya yang berlangsung pada Oktober bagi membolehkan penganjur menguji gelanggang sebelum Paris 2024 membuka tirai dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Situasi itu membuka peluang buat pemain negara untuk merasai suasana dan menyesuaikan diri dengan gelanggang baharu itu sebelum mereka beraksi di temasya terbesar dunia berkenaan.

Antara pemain utama negara yang bakal beraksi adalah gandingan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan membuka tirai saingan menentang beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel di pusingan pertama.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang kembali ke Paris dengan misi untuk merampas gelaran juara dimenangi pada 2022 akan berdepan wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Turut menjadi sandaran negara adalah beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang akan memulakan cabaran menentang rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Sementara itu, kelibat pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia pastinya akan menjadi tumpuan dengan dia menjadi wakil tunggal negara beraksi dalam acara berkenaan di Paris.

Ini selepas Ng Tze Yong terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan baru-baru ini susulan kecederaan belakang dialaminya.

Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia akan membuka tirai aksi menentang pemain Denmark, Magnus Johannesen.

"Sesi latihan pertama di gelanggang kejohanan berjalan dengan baik," kata jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng yang memuat naik video latihan Zii Jia ketika menguji gelanggang di Arena Porte de la Chapelle di laman Instagram miliknya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 5:36 PM