TANG Jie (kanan) dan Ee Wei akan bertemu beregu China di pusingan kedua, esok. FOTO ARKIB NSTP
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei akan bertemu beregu China di pusingan kedua, esok. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tiada masalah untuk beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis selepas menewaskan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-15, 21-18 di pusingan pertama di Arena Porte de la Chapelle di Paris, hari ini.

Pasangan negara yang menduduki ranking kesembilan dunia itu nyata menguasai perlawanan dengan menewaskan Kian Meng-Pei Jing dalam tempoh 42 minit.

Pada aksi pusingan kedua esok, Tang Jie-Ee Wei akan berdepan ujian getir bertemu pilihan keempat dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

"Kemenangan ini hanyalah permulaan dan apabila bertemu beregu China untuk pusingan seterusnya, kami mahu cuba menewaskan mereka.

"Saya percaya dengan pasangan dan jurulatih saya. Kami akan berikan yang terbaik di dalam gelanggang esok," kata Ee Wei.

Mengulas perlawanan hari ini, Tang Jie mengakui ia sentiasa sukar apabila berdepan Kian Meng-Pei Jing.

"Memang sentiasa sukar bertemu dengan rakan senegara, apabila kami masuk ke gelanggang kami mahu menang. Kami gembira kerana dapat permulaan yang baik di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 9:23 PM