JUN HAO ganti tempat Ng Tze Yong. FOTO NSTP
JUN HAO ganti tempat Ng Tze Yong. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas disenaraikan dalam skuad ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023, perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao tidak mahu hanya hadir sebagai pelengkap pasukan.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mahu kehadirannya mampu memberi impak dengan menyumbang mata buat pasukan jika diberi peluang turun beraksi.

"Sekiranya dapat bermain, sudah tentu saya akan buat yang terbaik dan berusaha untuk menyumbangkan mata buat pasukan," katanya.

Walaupun pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia yang turut disenaraikan hampir pasti menjadi taruhan utama Malaysia pada kejohanan yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu, namun Jun Hao menegaskan dia bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa jika khidmatnya diperlukan.

"Saya sedar ia bukan tugas mudah kerana akan bertemu dengan pemain yang mempunyai ranking lebih tinggi. Saya tidak pasti mengenai senarai pemain untuk negara lain tetapi saya percaya mereka juga akan menghantar pasukan terbaik pada kejohanan kali ini.

"Kejohanan ini juga memberi peluang untuk saya membuktikan kemampuan sebenar," kata Jun Hao.

Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat kejutan apabila menyenaraikan Jun Hao disamping Zii Jia untuk menggalas tanggungjawab dalam acara perseorangan lelaki di Dubai berbanding pemain sedang meningkat naik, Ng Tze Yong.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memastikan Tze Yong mempunyai tempoh masa latihan yang cukup sebelum mengharungi jadual yang padat apabila pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula pada 1 Mei depan.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, Malaysia turut menyenaraikan Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Pearly Tan-M Thinaah dan Teo Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita); Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Sejak kali pertama diperkenalkan pada 2017 di Hanoi, Malaysia belum pernah mara ke separuh akhir termasuklah edisi 2019 di Hong Kong.

BAMTC 2023 akan membuka tirai saingan bermula 14 hingga 19 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 11:23 AM