ZII Jia harap dapat capai keserasian secepat mungkin dengan Tat Meng.
ZII Jia harap dapat capai keserasian secepat mungkin dengan Tat Meng.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Menyedari sudah tidak mempunyai banyak masa menjelang Sukan Olimpik Paris tahun depan, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengharapkan dia bersama jurulatihnya, Wong Tat Meng mempunyai keserasian untuk kembali melonjakkan namanya di pentas antarabangsa.

Pengalaman Tat Meng yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih Korea Selatan dan Hong Kong ditagih untuk membawa bekas juara Seluruh England itu kembali ke landasan terbaiknya.

Zii Jia turut mengharapkan sentuhan Tat Meng dapat diadaptasi secepat mungkin menjelang Terbuka Korea yang akan berlangsung dari 18 hingga 23 Julai ini di Yeosu.

"Ini satu permulaan baru dan saya tahu saya tak mempunyai banyak masa. Kita semua tahu coach mempunyai keputusan yang bagus. Pengalaman dia (Tat Meng) ketika zaman Wong Mew Choo hingga sekarang yang saya harap dapat membantu saya," katanya.

Di Terbuka Korea, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-16 dunia akan membuka tirai saingan menentang bekas anak didik Tat Meng dari Hong Kong, Ng Ka Long di pusingan pertama.

Jika mara ke pusingan kedua, dia dijangka bertemu seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang akan membuka tirai kempen menentang Mithun Manjunath dari India.

Zii Jia turut mengharapkan dia mampu berjuang bersama Tat Meng sebagai jurulatih tempatan di temasya Olimpik kelak.

"Saya memang harap ada seorang jurulatih tempatan yang akan bimbing saya. Berjuang bersama-sama hingga ke Olimpik sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Tat Meng memulakan tugasnya secara rasmi awal bulan ini menggantikan tempat Indra Wijaya yang berpisah dengan Zii Jia pada November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 4:46 PM