HAMIDIN harap Tze Yong segera kembali memburu slot Olimpik 2024. FOTO AIMAN DANIAL
HAMIDIN harap Tze Yong segera kembali memburu slot Olimpik 2024. FOTO AIMAN DANIAL
BERNAMA

Petaling Jaya: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berharap pemain badminton perseorangan lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong dapat pulih dari kecederaannya supaya dapat meneruskan pemburuan tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Beliau berharap, pemain berusia 23 tahun itu dapat melayakkan diri bersama-sama pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia ke Paris 2024 yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

"Kita harap beliau dapat kembali pulih secepat yang mungkin (untuk beraksi dalam kejohanan kelayakan)," katanya selepas bertemu atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif di sini, hari ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Sabtu lalu mengumumkan bahawa, Tze Yong tidak akan menyertai Terbuka Perancis yang bermula dari 5 hingga 10 Mac dan Seluruh England dari 12 hingga 17 Mac ini untuk menjalani pembedahan di bahagian belakangnya pada minggu ini.

Pembedahan berkenaan dijangka akan mengetepikan Tze Yong daripada beraksi di gelanggang selama dua hingga enam minggu dan tempoh kelayakan ke Paris 2024 akan berakhir pada 28 April.

Impian Tze Yong untuk beraksi di Olimpik sukar dipastikan selepas mengalami kecederaan otot bawah belakangnya semasa Terbuka Malaysia bulan lalu, diikuti masalah tulang belakang semasa beraksi dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) baru-baru ini.

Sesebuah negara hanya boleh mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan, jika kedua-dua pemain berada pada kedudukan 16 teratas dunia dalam ranking 'Race to Paris' menjelang tempoh akhir kelayakan, dengan Zii Jia kini menduduki ranking ke-10, sementara Tze Yong di ranking ke-15 tetapi menghadapi risiko kehilangan kedudukan itu jika dia terus tidak beraksi dalam kejohanan kelayakan.

Sementara itu, Hamidin berkata walaupun atlet seperti pelayar Nur Shazrin yang layak bagi acara ILCA 6 wanita, penerjun Bertrand Rhodict Lises (10m platform lelaki) dan pemanah Ariana Nur Dania Mohamad Zairi (recurve wanita) tidak berada dalam program 'Road to Gold' (RTG), kesemua sokongan yang diperlukan oleh mereka diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Menteri (Hannah Yeoh) sangat prihatin terdapat atlet, mereka tetap mendapat bantuan menerusi MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) walaupun bukan dalam RTG. Selain buru emas, kita juga mahu cari seberapa banyak pingat yang lain kerana saiz kontinjen semakin mengecil selepas beberapa atlet gagal layak.

Saya, sebagai orang sukan, melihat potensi besar dan karakter pada Bertrand dan Ariana, yang kedua-duanya baru berusia 19 tahun. Mereka masih muda, sekiranya digilap dengan baik, mereka boleh menjadi sandaran utama pada Olimpik Los Angeles 2028 dan temasya-temasya utama yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 10:23 PM