NUR Dhabitah (kiri) dan Tze Liang memiliki peluang tipis tersenarai ke Paris 2024 sebelum senarai akhir diumumkan pada 23 Jun depan. FOTO ARKIB NSTP
NUR Dhabitah (kiri) dan Tze Liang memiliki peluang tipis tersenarai ke Paris 2024 sebelum senarai akhir diumumkan pada 23 Jun depan. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kontinjen negara masih berpeluang menyaksikan tambahan penyertaan penerjun negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 meskipun sebelum ini hanya Bertrand Rhodict Lises satu-satunya penerjun layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata, dua penerjun, Nur Dhabitah Sabri dan Ooi Tze Liang masih boleh tersenarai ke Paris 2024, namun ia bergantung kepada nasib sebelum senarai akhir diumumkan pada 23 Jun depan.

"Sangat tipis. Kalau ada yang menarik diri, boleh masuk. Apapun, peluang itu sangat tipis. Sekiranya dapat, ia satu bonus besar buat kita," kata Andy ketika diminta mengulas jika ada lagi peluang terakhir buat penerjun negara ke Paris 2024.

Skuad terjun negara sebelum ini menerima tamparan hebat apabila hanya Bertrand Rhodict layak secara merit ke Paris 2024 selepas mara ke final acara 10 meter (m) platform lelaki individu, sekali gus menempatkan diri dalam syarat kelayakan iaitu kelompok 12 terbaik pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, Julai tahun lalu.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menerusi laporan semalam mengesahkan setakat ini seramai 18 atlet daripada tujuh jenis sukan sudah layak ke Paris 2024.

Katanya, menjelang tarikh tutup pada penghujung Jun ini, pihaknya menjangkakan kira-kira 10 lagi atlet akan layak ke edisi ke-33 itu yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Bilangan kontinjen dilihat bakal bertambah menerusi sukan terjun dengan adanya pengagihan semula kuota yang tidak digunakan dan 'universality places' atau lebih dikenali sebagai 'wildcard' bagi sukan renang dan olahraga.

Selain Bertrand Rhodict, atlet yang sudah mengesahkan tempat ke Paris 2024 adalah Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), tiga pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang; Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan pelumba lebuhraya wanita, Nur Aisyah Zubir selain dua pelayar negara, Nur Shazrin Latif dan Khairulnizam Afendy.

Manakala dalam acara badminton terdiri dari Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 5:21 PM