TZE Yong tekad duduki kelompok 16 teratas dunia.
TZE Yong tekad duduki kelompok 16 teratas dunia.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menyifatkan penyenaraiannya dalam program Road To Gold (RTG) dianggap satu rahmat buat dirinya dalam misi layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut pemain yang kini berada di ranking ke-21 dunia itu, bantuan yang akan diterimanya selepas ini lebih spesifik bagi membantu dia melakukan proses pemulihan, berbeza jika dibandingkan dengan perkhidmatan terdahulu.

"Secara jujur, saya tidak sangka dapat masuk dalam RTG kerana sebelum ini mereka kata perlu berada dalam ranking 10 teratas dunia. Saya akan dapat lebih banyak bantuan untuk bantu saya layak ke Olimpik.

"Saya akan menerima khidmat sokongan spesifik dari segi fisioterapi termasuk tukang urut. Sebelum ini, kadang-kadang ia (bantuan) tidak pasti apabila kurang orang pergi (kejohanan).

"Apabila masuk RTG, akan dapat kelebihan ini. RTG ada pasukan (sokongan) sendiri dan akan pergi setiap kejohanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa RTG mengumumkan Tze Yong serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dimasukkan dalam program tersebut bagi membantu mereka dalam saingan kelayakan ke Olimpik.

Dalam pada itu Tze Yong berkata, dirinya perlu memanfaatkan peluang tersebut bagi memastikan Malaysia memiliki dua wakil perseorangan lelaki di Paris nanti bersama pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia yang turut berada dalam RTG.

"Saya perlu mara sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir dan separuh akhir pada kejohanan akan datang untuk berada dalam kelompok 16 teratas dunia bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Sudah tentu harapan supaya saya dan Zii Jia dapat layak ke Olimpik kerana peluang lebih besar jika ada dua wakil. Bagaimanapun, saya percaya ia bukan perkara mudah kerana semua pemain pun akan bersaing untuk ke Olimpik," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 1:55 PM