HAMIDIN (kanan) meninjau persiapan Ariana, baru-baru ini. FOTO ARKIB NSTP
HAMIDIN (kanan) meninjau persiapan Ariana, baru-baru ini. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin mengharapkan atlet muda iaitu Bertrand Rhodict Lises dari sukan terjun dan Ariana Nur Dania Mohd Zairi dari memanah dapat menampilkan persembahan cemerlang untuk memburu kedudukan terbaik di Paris 2024.

Jelas Hamidin, walaupun beliau menyedari mereka masih muda, dua atlet itu diharap mampu memperagakan aksi terbaik dan menggunakan peluang bersaing di pentas tertinggi itu dengan sebaik mungkin.

"Saya ada cakap dengan Rhodict dan Ariana. Saya kata minimum, kalau kamu (Rhodict) ranking ke-12 atau ke-10 sekarang, saya kata di Doha (di Kejohanan Akuatik Dunia) masa baru-baru ini, awak mesti kena tunjukkan prestasi terbaik kerana umur awak baru 19 tahun dan masih ada tiga atau empat Olimpik lagi boleh pergi.

"Kalau konsisten dan disiplin. Maksudnya pergi ke Olimpik Paris minimum kena ada peningkatan dari segi kedudukan kepada nombor lima atau enam. Kalau dapat nombor tiga sangat bagus untuk kamu sebab 'base on' potensi awak.

"Termasuk Ariana, atlet muda ini pertama kali masuk Olimpik (Paris), dia mesti paling teruk pun dia kena mempertingkatkan ranking dia.

"Kalau dia ranking ke-15, dia mesti kena pergi ke nombor tujuh atau lapan. Olimpik adalah masa terbaik untuk mereka," kata Hamidin.

Beliau bersama Majlis Sukan Negara (MSN). Institut Sukan Negara (ISN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memberi sokongan penuh kepada atlet yang tidak berada di dalam Road To Gold (RTG).

Atlet yang sudah mengesahkan tempat ke Paris 2024 akan menjalani latihan termasuk pertandingan di luar negara sebagai persiapan menghadapi temasya dunia itu.

Setakat 17 Mac lalu, lima atlet negara sudah menempah tiket ke Paris 2024 iaitu Rhodict, Ariana, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong Guanjie (menembak) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal - lebuh raya).

"Rhodict akan berbincang dengan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) dan MSN untuk memutuskan di mana beliau akan berlatih nanti dan kita akan tahu dalam masa terdekat.

"Antara tempatnya adalah United Kingdom, Mexico atau Amerika Syarikat. Nur Shazrin akan menyertai pertandingan di Sepanyol dan Perancis sebelum pulang ke Langkawi pada Jun nanti.

"Johnathan pula akan menjalani latihan di Kuala Lumpur sebelum menyertai Kejohanan Piala Dunia ISSF di Azerbaijan dan seterusnya di Munich, Jerman.

"Ariana menyertai Sirkit Piala Dunia WA (World Archery) di China dan Korea Selatan serta dijangka menjalani kem latihan di Turkiye dan Nur Aisyah dicadang menyertai latihan di Thailand dan seterusnya di Belgium bermula Mei nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 6:55 PM