CHOONG Hann (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada Ka Long pada aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
CHOONG Hann (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada Ka Long pada aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Biarpun berkelana di negara orang iaitu Hong Kong, bekas pemain perseorangan lelaki negara, Wong Choong Hann mempunyai impian besar pada tahun ini, tambahan pula bakal berlangsungnya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Choong Hann, antara misi utamanya selepas berkelana ke negara itu sebaik meletak jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lalu adalah untuk membawa dua perseorangan lelaki Hong Kong beraksi di Paris 2024.

"Saya diberikan empat pemain dengan misi memastikan dua pemain lelaki Hong Kong layak ke Paris 2024.

"Dua pemain yang disasarkan ke Olimpik adalah Lee Cheuk Yiu dan Ng Ka Long," kata Choong Hann yang ditemui ketika mengiringi Ka Long dan Cheuk Yiu beraksi di Terbuka Malaysia di Axiata Arena, hari ini.

Ujarnya, walaupun bilangannya tidak ramai seperti di Malaysia, beliau turut berdepan cabaran tersendiri untuk membimbing pemain perseorangan lelaki Hong Kong.

"Tidak ramai pemain tapi tak mudah juga, namun dari segi penumpuan, saya boleh fokus.

"Selain dua pemain itu, saya turut membimbing Chan Yin Chak dan Jason Gunawan," katanya.

Ketika ini, Cheuk Yiu berada di ranking ke-17 dunia, Ka Long (20), Yin Chak (72) dan Gunawan (105).

Dalam pada itu, Choong Hann mengakui tetap mengikuti perkembangan perseorangan lelaki negara terutama menerusi perkongsian berita di Facebook.

"Sudah tentu saya ikut, tambahan pula berita mengenai pemain Malaysia melintasi 'timeline' Facebook saya.

"Malah saya sering bertemu pemain seperti Ng Tze Yong ketika menyertai kejohanan di luar negara, saya lihat dia melalui proses peningkatan prestasi yang baik," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 5:03 PM