PEMAIN perseorangan negara, Ng Tze Yong diharap melakukan kejutan untuk membawa pulang pingat di Birmingham 2022. FOTO FB BAM
PEMAIN perseorangan negara, Ng Tze Yong diharap melakukan kejutan untuk membawa pulang pingat di Birmingham 2022. FOTO FB BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Elemen kejutan sekali lagi diharapkan daripada pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong sekiranya mahu menggenggam pingat di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai sehingga 8 Ogos ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, apabila tampil di Birmingham 2022 selaku pemain bukan pilihan, Tze Yong perlu mengharapkan elemen itu seperti dilakukannya di Terbuka Singapura.

"Dia kini berada dalam situasi terbaik menuju ke Sukan Komanwel. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, jika melihat kepada kedudukan ranking, dia bukanlah pemain pilihan.

"Jadi kami mengharapkan Tze Yong boleh melakukan kejutan dalam usahanya untuk mendapatkan pingat," katanya.

Di Singapura, Tze Yong berjaya melangkah sehingga ke suku akhir dengan menewaskan dua jaguh Hong Kong, Ng Ka Long dan Lee Cheuk Yiu pada pusingan pertama dan kedua sebelum tewas di tangan pemain nombor enam dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting yang kemudian muncul juara kejohanan.

Choong Hann berkata, Tze Yong yang kini menduduki ranking ke-44 dunia, sememangnya berada di landasan tepat untuk terus memperbaiki kedudukan rankingnya.

"Saya tidak letakkan sasaran (memperbaiki ranking) selepas Terbuka Singapura atau Masters Malaysia. Sasaran untuknya sememangnya sudah ditetapkan sejak tahun lalu lagi. Jadi prestasinya memang berada dalam jangkaan kami.

"Apa yang berlaku di Singapura adalah satu lagi peningkatan prestasi dicapainya menuju ke hujung tahun," katanya.

Tze Yong dipilih untuk beraksi di Birmingham 2022 selepas pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menarik diri daripada menyertai temasya sukan kedua terbesar dunia itu.

Zii Jia berbuat demikian kerana mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun yang bakal berlangsung dari 22 hingga 28 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 1:48 PM